KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr. Fuziah Salleh mengesahkan beliau telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli berhubung kenyataan serta tindakannya yang didakwa menimbulkan persoalan terhadap kedudukan dan kesetiaannya kepada parti.
Menurut beliau, surat berkenaan perlu dijawab selewat-lewatnya pukul 12 tengah malam ini, namun jawapan masih belum diterima.
Jelasnya, surat itu merujuk kepada Perkara 9.1 (C) Perlembagaan parti berkaitan keanggotaan, khususnya pengisytiharan oleh anggota sendiri mengenai kedudukannya dalam parti.
“Tujuan surat ini adalah untuk memohon beliau menjelaskan apa sebenarnya hasrat beliau. Hasrat itu boleh dinyatakan secara teknikal melalui surat, atau secara substantif melalui pelakuan, tindakan dan kenyataan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas sesi Walkabout Bazar Ramadan Rahmah (BRR) peringkat Zon Tengah di Bazar Ramadan Jalan Raja Alang, di sini hari ini.
Fuziah berkata, beberapa kenyataan terbuka Rafizi sebelum ini menunjukkan beliau sudah hilang keyakinan dan tidak lagi sehaluan dengan parti.
Malah, dakwanya, tindakan menghentam parti secara berterusan turut memberi gambaran seolah-olah beliau tidak lagi bersama perjuangan parti walaupun tiada surat rasmi keluar parti dikemukakan.
Beliau berkata, surat tersebut bukan berkaitan tindakan disiplin, sebaliknya menyentuh soal keanggotaan yang mempunyai implikasi besar termasuk terhadap kedudukan sebagai Ahli Parlimen.
“Jangan keliru. Aspek disiplin adalah di bawah Lembaga Disiplin dan itu perkara berbeza. Surat ini menyentuh soal keanggotaan. Jika hasrat keluar parti dibaca secara substantif, walaupun tiada surat rasmi, implikasinya besar dan boleh menjejaskan status keanggotaan serta kedudukan sebagai Ahli Parlimen,” ujarnya.
Dalam masa sama, Fuziah menegaskan beliau menghormati semua Ahli Parlimen, namun mengingatkan bahawa mereka dipilih atas tiket parti dan perlu mengangkat agenda perjuangan parti, bukan bertindak atas kapasiti peribadi.
“Parti menyediakan ruang dalaman yang luas untuk berbincang dan menyuarakan ketidaksempurnaan. Gunakan platform dalaman itu,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan PKR menunggu jawapan daripada Rafizi yang sebelum ini membuat kenyataan akan bertanding dan mempertahankan kerusi Parlimen Pandan bukan atas tiket parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Fuziah dilaporkan berkata, surat tunjuk sebab sudah dikeluarkan kepada Rafizi pada 23 Februari lalu untuk memberi peluang kepada beliau untuk membuat penjelasan. – KOSMO! ONLINE














