PETALING JAYA – Beberapa penerbangan antarabangsa termasuk rakyat Malaysia dilaporkan mengalami penangguhan dan pembatalan susulan ketegangan konflik yang memuncak di Asia Barat.
Perkembangan ini sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penumpang, khususnya yang merancang pulang ke tanah air menjelang Aidilfitri.
Menerusi pengkongsian di platform Threads, rata-rata pengguna memaklumkan penerbangan ke destinasi Timur Tengah terpaksa dibatalkan atau berpatah balik atas faktor keselamatan.
Seorang pengguna, Anisyohanakhalid, meluahkan rasa sedih apabila penerbangan ke Arab Saudi dibatalkan semula.
“Saudi cancel (batal) semula flight. Kami nak balik raya…,” katanya.
Selain itu, pengguna lain turut berkongsi perkembangan penerbangan membabitkan pesawat dari Kuala Lumpur yang dilaporkan berpatah balik atau mendarat di lokasi alternatif.
“Flight (penerbangan) ke Madinah cancel (batal). Moga dipermudahkan urusan,” kata amirrushdan_98.
“Iran memberi respons terhadap serangan bom Amerika Syarikat/Israel, dengan menyerang pangkalan tentera Amerika Syarikat yang berada di negara-negara GCC (Majlis Kerjasama Teluk).
“Doakan keselamatan semua rakyat Malaysia di negara-negara GCC. Banyak penerbangan sudah dibatalkan atau ditangguhkan. Yang nak balik raya mesti sudah mula risau.
“Semoga semuanya baik-baik sahaja,” tulis Nusaibahkaracadaq.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Washington mula melancarkan serangan ke atas Iran, lapor media Amerika Syarikat(AS) hari ini, selepas Israel mengesahkan menyerang musuh ketatnya.
Beberapa saluran berita memetik pegawai AS berkata, Washington melancarkan serangan ke atas Iran dalam operasi bersama dengan Israel. – KOSMO! ONLINE














