KOTA BHARU – Anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sempadan Malaysia-Thailand sudah dibekalkan dengan senjata api sebagai langkah untuk menjamin keselamatan semasa bertugas.
Timbalan Menteri KPDN, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, kelengkapan senjata api itu merupakan sebahagian daripada prosedur keselamatan yang telah lama dilaksanakan pihaknya terutamanya kepada anggota yang bertugas di kawasan berisiko tinggi terutamanya Sungai Golok.
Menurutnya, baju kalis peluru baharu sahaja dibekalkan kepada anggota KPDN sebagai perlindungan tambahan semasa bertugas.
“Ia merupakan antara penambahbaikan yang telah dilakukan oleh KPDN dalam meningkatkan tahap keselamatan anggota penguat kuasa di sempadan.
“Sehubungan itu, penguat kuasa KPDN dingatkan agar memakai baju kalis peluru dan berhati-hati semasa menjalankan tugasan,” katanya pada sidang akhbar selepas sesi Walkabout Bazar Ramadan Rahmah Peringkat Zon Timur di pekarangan Mydin Mall Tunjong di sini hari ini.
Terdahulu, Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir nyaris terkena tembakan yang dilepaskan ke arahnya dalam kejadian di sini pada pagi kelmarin.
Kejadian kira-kira pukul 5.40 pagi itu berlaku ketika Mohd. Nasaruddin dalam perjalanan ke sebuah masjid untuk menunaikan solat subuh dengan memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) X70.
Beliau bagaimanapun terselamat apabila dua tembakan yang dilepaskan salah seorang daripada dua suspek menaiki sebuah motosikal tersasar.
Tembakan terkena pada pintu penumpang belakang sebelah kanan dan pintu penumpang hadapan. – KOSMO! ONLINE














