fbpx
RIDWAN hampir pasti akan beraksi di saingan ACC 2026 dan Piala Dunia Trek 2026 di Nilai nanti.

Pelumba baharu bakal cabar posisi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SKUAD berbasikal trek negara dijangka tampil dengan kombinasi baharu terutama dalam acara pecut elit berpasukan bagi memburu pingat emas pada kejohanan besar tahun ini.

Pengarah teknikal skuad trek negara, John Beasley mendedahkan barisan kejurulatihan sudah melaksanakan beberapa sesi pemilihan kompetitif bagi memastikan hanya pelumba paling bersedia dipertaruhkan.

Sekiranya pelumba baharu melepasi sesi saringan, mereka akan turut bersaing di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Filipina (25-31 Mac) dan Piala Dunia Trek di Velodrom Nasional, Nilai berlangsung dari 24 hingga 26 April ini.

Menurutnya, komitmen tinggi dipamerkan setiap atlet negara membuka ruang kepada muka baharu untuk mencabar kedudukan pelumba sedia ada dalam acara pecut berpasukan lelaki dan wanita.

“Kami sudah mengadakan perlumbaan pemilihan bagi lelaki dan wanita. Anda akan melihat barisan baharu dalam acara pecut berpasukan di ACC dan mungkin juga di Piala Dunia.

“Persaingan sihat dengan muka baharu yang mencabar tempat sedia ada menunjukkan pasukan berada pada tahap baik. Saya tidak akan dedahkan nama, tetapi anda akan melihat wajah baharu selepas ini,” katanya.

Jaguh pecut negara, Datuk Azizulhasni Awang hampir pasti mengetuai cabaran negara dengan sokongan pelumba muda yang semakin menonjol.

Sebagai rekod, Malaysia meraih pingat gangsa ACC 2025 menerusi gandingan Muhammad Ridwan Sahrom, Muhammad Fadhil Zonis dan Mohd Akmal Nazimi Jusena.

Perkembangan terkini melibatkan Muhammad Shah Firdaus Sahrom turut memberi petanda positif apabila semakin pulih daripada kecederaan lutut.

“Kecederaan Shah sudah pulih sepenuhnya, cuma ada sedikit pengecutan otot. Keadaannya kini sekitar 85 peratus kembali kepada prestasi asal.

“Kemungkinan dia belum bersedia untuk Piala Dunia di Malaysia, tetapi dijangka berada pada tahap terbaik menjelang temasya besar hujung tahun nanti,” jelas Beasley.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN