KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu Lim Guan Eng memang menerima beg mengandungi wang berjumlah RM1 juta walaupun ketika itu memakai seragam Ketua Menteri Pulau Pinang.
Saksi pendakwaan ke-37, ahli perniagaan, Datuk Seri G. Gnanaraja menafikan dakwaan peguam bela Ramkarpal Singh semasa perbicaraan kes rasuah projek pembinaan jalan-jalan utama dan terowong dasar laut melibatkan Guan Eng.
Ramkarpal: Saya katakan beg itu tidak pernah diserahkan kepada Guan Eng seperti didakwa (Gnanaraja).
Ini kerana, tidak masuk akal untuk beliau selaku Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu, pergi ke Publika pada masa yang sibuk iaitu hari Ahad, dengan memakai pakaian seragam Ketua Menteri sambil memegang sebuah beg yang kononnya mengandungi RM1 juta. Ini satu perkara yang tidak pernah berlaku, betul?
Gnanaraja: Memang tak masuk akal, tapi sudah berlaku.
Pada 27 Ogos tahun lalu, Gnanaraja memberitahu mahkamah dia menyerahkan sebuah beg berwarna hitam berisi wang RM1 juta kepada Guan Eng semasa menghantar beliau ke Publika, Hartamas pada 20 Ogos 2017.
Guan Eng kemudian dikatakan telah mengambil beg berkenaan serta menepuk bahu Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli yang ketika itu Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) yang berada di tempat duduk pemandu.
Ramkarpal: Itupun kali pertama awak berjumpa Guan Eng, betul?
Gnanaraja: Betul, saya setuju.
Ramkarpal: Adakah anda bersetuju semasa perjumpaan tersebut Guan Eng (mengikut versi anda) keluar dari kereta dan tiada mana-mana pegawai berjumpa dengan beliau, betul?
Gnanaraja: Betul.
Ramkarpal: Adakah awak tahu ke mana beliau pergi?
Gnanaraja: Saya tidak tahu.
Rampkarpal: Boleh beritahu secara khusus di mana awak berjumpa dengan beliau?
Gnanaraja: Saya tak ingat.
Rampkarpal: Di tempat beli-belah atau di luar?
Gnanaraja: Di luar (pusat beli-belah), di pekarangan jalan raya.
Rampkarpal: Jadi pada masa itu, Zarul (individu dilantik melaksanakan projek tersebut) boleh mengesahkan tiada sesiapa di sana yang bertemu dengan Guan Eng?
Gnanaraja: Betul.
Ramkarpal: Adakah anda bersetuju selepas itu anda tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan Guan Eng?
Gnanaraja: Tiada sebarang hubungan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 3 Mac ini.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta.
Ia dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6.34 juta antara Januari 2011 hingga Ogos 2017, di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
Bagi pertuduhan pindaan kedua pula, Guan Eng didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah, bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.
Selain itu, Ahli Parlimen Bagan itu turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu. – KOSMO! ONLINE














