LUMUT – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini melaksanakan Majlis Pelepasan Tali KD Lekir di Pangkalan TLDM Lumut bagi memulakan Lekir Australia Deployment 2026 (LEAD ‘26).
Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Pangkalan TLDM Lumut dalam kenyataannya berkata, LEAD ’26 bakal menyaksikan penyertaan KD Lekir dalam eksesais tentera laut multilateral, aktiviti diplomasi pertahanan serta pelayaran jarak jauh di peringkat antarabangsa.
“Penugasan selama lebih dua bulan ini melibatkan seramai 150 orang pegawai dan anggota serta tim sokongan. LEAD ’26 diketuai oleh Pegawai Memerintah KD Lekir, Komander Megat Mohamad Sofwan Firdaus Megat Mohamad Yunus.
“Sebelum memulakan pelayaran, seluruh warga kapal telah melalui persiapan rapi merangkumi aspek kesiapsiagaan operasi, latihan taktikal, penyelenggaraan teknikal serta pengurusan logistik bagi memastikan kapal berada dalam keadaan optimum untuk melaksanakan pelayaran merentasi perairan serantau dan antarabangsa,” katanya di Lumut hari ini.
Katanya, penglibatan pertama KD Lekir pada LEAD ’26 adalah International Fleet Review (IFR) sempena ulang tahun ke-125 penubuhan Tentera Laut Diraja Australia yang akan berlangsung di Sydney pada 21 Mac depan.
Menurutnya, acara berskala besar itu bakal menghimpunkan 35 buah kapal daripada 20 buah negara dan menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan diplomasi pertahanan antara negara-negara yang terlibat.
“Seterusnya, KD Lekir akan menyertai Eksesais KAKADU 26 yang melibatkan 21 buah kapal dan sebuah kapal selam daripada 14 buah negara dari 22 hingga 30 Mac depan,” katanya.
Menurutnya, selesai penglibatan di Sydney, KD Lekir akan meneruskan pelayaran Circumnavigation of the Australian Continent iaitu pelayaran mengelilingi benua Australia.
Mengulas lanjut, katanya, pada penghujung pelayaran di benua Australia, KD Lekir akan menyertai Malaysia-Australia Exercise (MASTEX) 26 di Perth dari 14 hingga 20 April 2026.
Ujarnya, sebelum mengakhiri LEAD ’26, KD Lekir akan melaksanakan lawatan pelabuhan ke Jakarta, Indonesia dari 26 hingga 29 April 2026.
Katanya, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan dua hala dan diplomasi pertahanan serantau.
Dalam perjalanan menuju ke Jakarta, ujarnya, KD Lekir akan melaksanakan satu acara peringatan khas ketika melalui perairan Barat Laut Australia bagi memperingati tragedi MH370 yang melibatkan 293 mangsa.
“Walaupun kapal ini tidak terlibat secara langsung dalam operasi mencari dan menyelamat pada tahun 2014, acara ini bertujuan menzahirkan rasa empati dan solidariti terhadap mangsa serta mengenang jasa kapal-kapal TLDM yang terlibat dalam misi pencarian pesawat tersebut. – KOSMO! ONLINE














