JOHOR BAHRU – Bermula dengan modal hasil wang simpanan RM50,000, sepasang suami isteri kini mampu tersenyum apabila premis ais krim yogurt dan wafel milik mereka di Taman Adda di sini mula menjadi tumpuan orang ramai.
C’ Nemon yang beroperasi sejak Julai tahun lalu menawarkan konsep santai dengan menu ‘trending’ yang jarang ditemui.
Pengusahanya, Muhammad Syabeel Jamaliyas, 23, berkata, keputusan meninggalkan perniagaan kasut dalam talian dibuat selepas melihat potensi besar dalam industri makanan selain mahu membina jenama sendiri bersama isterinya, Wan Nor Azwani Wan Abdullah, 22.
“Idea ini datang daripada minat isteri terhadap aiskrim dan masakan barat. Dia banyak belajar sendiri secara dalam talian dan bereksperimen di dapur sebelum kami berani buka kedai.
“Kami mahu tampil dengan kelainan, sebab itu pilih ais krim yogurt yang lebih ringan dan sesuai untuk semua peringkat umur,” katanya ketika ditemui kelmarin.
Menurutnya, setiap campuran yogurt bersama sos, biskut dan buah-buahan adalah resipi eksklusif hasil kreativiti isterinya sendiri.
Harga ais krim yogurt yang ditawarkan bermula RM9.90 hingga RM14.90, manakala saiz besar RM17.90 dianggap mampu milik terutama untuk golongan pelajar.
Selain ais krim yogurt vanila yang menjadi ‘signature’, pelanggan turut tertarik dengan menu loaded fries yang tampil dengan empat variasi unik iaitu Original Cheesy Melt, Black Pepper Beef Inferno, Bolognese Creamy Bake dan Mac’ N Melt Fries.














