MADRID – Kecederaan penyerang sensasi, Kylian Mbappe merencatkan pesta Real Madrid selepas mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 terbaik saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menewaskan Benfica dengan agregat 3-1 awal pagi semalam.
Pada playoff kedua di Santiago Bernabeu, The Galacticos terpaksa melupakan khidmat Mbappe selepas mengalami kecederaan berulang sehingga disisihkan daripada skuad utama.
Situasi tersebut memberi tekanan buat tuan rumah apabila ketinggalan 0-1 pada awal saingan sebelum bangkit meraih dua gol hasil jaringan pemain tengah, Aurelien Tchouameni dan pemain sayap, Vinicius Junior untuk menang 2-1.
Menurut Arbeloa, Mbappe ketika ini masih bergelut dengan kecederaan yang sama sejak Disember lepas dan kali ini, pegawai perubatan tidak memberi lampu hijau buatnya beraksi kerana risiko kecederaan bertambah serius agak besar.
“Kami semua sudah berbincang dan keputusan terbaik adalah berhenti sekarang supaya Mbappe boleh kembali seratus peratus.
“Saya tak boleh sahkan sampai bila dia perlu berehat kerana ia bukan soal berapa hari atau perlawanan, mungkin ambil masa lebih lama,” katanya.
Sementara itu, Tchouameni yang dinamakan pemain terbaik perlawanan, mengakui tentangan yang diberikan daripada kelab Portugal tersebut sangat sengit.
“Kami tahu ini perlawanan besar dan semua pemain berkorban buat pasukan. Kemenangan ini adalah hasil kerja keras rakan-rakan dan pujian sama wajar diberi kepada mereka,” katanya. – AGENSI














