MILAN – Kelab kecil Norway, Bodo/Glimt melakar kejutan sensasi apabila menyingkirkan gergasi Itali, Inter Milan selepas menang 2-1 pada aksi playoff Liga Juara-Juara Eropah di San Siro awal pagi tadi sekali gus mara dengan agregat meyakinkan 5-2.
Berbekalkan kelebihan 3-1 pada perlawanan pertama, wakil dari Lingkaran Artik itu mempamerkan aksi berdisiplin sebelum Jens Petter Hauge membuka jaringan pada minit ke-58, diikuti gol penamat oleh Haakon Evjen yang memadam sisa harapan tuan rumah.
Kemenangan itu melengkapkan kisah dongeng luar biasa Bodo/Glimt musim ini selepas turut mengejutkan beberapa kuasa besar Eropah untuk mencipta sejarah mara ke pusingan 16 terbaik buat kali pertama.
Jurulatih Bodo/Glimt, Kjetil Knutsen menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil kepercayaan kolektif seluruh pasukan terhadap projek yang dibina sejak beberapa tahun lalu.
“Ia satu perjalanan panjang. Ramai orang berada di belakang pasukan ini dengan kepercayaan yang sangat kuat terhadap apa yang kami bina,” katanya. – AGENSI














