MELAKA – Bagi menarik pelanggan, seorang peniaga kuih tepung pelita di One Krubong di sini menyediakan lebih 1,000 hadiah menerusi promosi ‘gores dan menang’ sepanjang bulan Ramadan ini.
Peniaga, Azlina Abdullah, 49, berkata, inisiatif itu dilakukan sebagai tanda penghargaan, selain mewujudkan rasa seronok dalam kalangan pelanggan yang membeli tiga pek kuih tepung pelita berharga RM20.
Katanya, kira-kira 50 hadiah disediakan setiap hari dan lazimnya kesemuanya habis diberikan sepanjang tempoh berniaga dari pukul 3 hingga 6.30 petang.
“Antara hadiah yang ditawarkan adalah bekas makanan, bekas sudu dan botol minuman. Aktiviti gores dan menang ini hanyalah pulangan kecil, sekadar suka-suka untuk menggembirakan para pelanggan.
“Idea ini tercetus selepas saya melihat jenama-jenama pakaian yang besar mengadakan promosi sama, jadi saya pun cuba melakukannya,” katanya ketika ditemui di gerainya di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Azlina berkata, kuih tersebut dihasilkan rakannya di Nilai, Negeri Sembilan dan bekalan itu akan diambil setiap hari.
“Setiap hari saya berulang-alik ke Nilai untuk mengambil 2,016 biji atau 28 dulang tepung pelita sebelum dipek untuk jualan,” ujarnya.
Sementara itu seorang pelanggan, Husna Mastura Halmi, 37, berkata, dia sering membeli kuih Inn Tepung Pelita yang turut dijual di luar bulan Ramadan kerana rasanya yang sedap.
“Bagi saya tepung pelita ini mempunyai rasa seperti kuih di kampung halaman di Taiping, Perak. Cuma Ramadan tahun ini saya terkejut ada promosi gores dan menang, memang sesuatu yang buat saya gembira,” katanya yang mendapat hadiah botol minuman. – KOSMO! ONLINE














