ISKANDAR PUTERI – Tindakan berani seorang pemandu memecut dan merempuh palang keselamatan di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Tanjung Kupang di sini tular di media sosial sejak semalam.
Rakaman video berdurasi 33 saat yang dimuat naik menerusi akaun Facebook Malaysia–Singapore Border Crossers (MSBC) memaparkan sebuah kereta dipandu secara melulu sebelum melanggar palang milik pos pemeriksaan Jabatan Imigresen dan beberapa kon keselamatan.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, pihaknya menerima laporan daripada polis bantuan KSAB dan siasatan mendapati kejadian berlaku pukul 2.40 petang semalam apabila kereta itu dikesan memasuki laluan kenderaan berat di pintu Gate C bagi laluan masuk Malaysia ke Singapura.
“Petugas mengarahkan pemandu membuat pusingan U ke laluan kenderaan ringan, namun suspek enggan memberikan kerjasama.
“Sebaliknya, suspek bertindak memecut sehingga melanggar palang keselamatan dan empat kon yang berada di laluan tersebut sebelum menghala ke pintu keluar menuju Singapura,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kejadian itu tidak melibatkan sebarang kecederaan, namun mengakibatkan kerosakan harta awam di pos pemeriksaan berkenaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi kesalahan memandu secara melulu.
Kumarasan berkata, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan. Sebarang maklumat boleh disalurkan ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pusat Kawalan Daerah Iskandar Puteri di talian 07-5113622 atau hotline 07-5114486.-KOSMO! ONLINE














