fbpx
15 peserta Kohort 1 yang berjaya menamatkan Program Laksamana 3.0 diraikan di Akademi RSA Sdn Bhd., Terengganu, semalam.

15 anak ATM tamat Laksamana 3.0 Kohort 1 anjuran Yayasan LTAT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT) meraikan kejayaan 15 peserta Kohort 1 yang berjaya menamatkan Program Latihan Kemahiran Anak Angkatan Tentera (ATM) dan Anak Veteran ATM (Laksamana 3.0), semalam.

Semua peserta itu telah melepasi latihan intensif 14 hari dalam bidang Pengujian Tanpa Musnah, di Pusat Latihan Teknologi Lanjutan (Adtec) Kemaman, Terengganu.

Yayasan LTAT menerusi kenyataan berkata, semua peserta itu diraikan di Majlis Penyampaian Sijil Laksamana 3.0 yang berlangsung di Akademi RSA Sdn Bhd., Terengganu.

“Sepanjang tempoh latihan, peserta mengikuti modul komprehensif merangkumi penguasaan teori, pematuhan kepada standard dan prosedur industri, latihan amali mengikut situasi sebenar serta disiplin dokumentasi teknikal.

“Penekanan turut diberikan kepada aspek integriti kerja, ketelitian pemeriksaan dan pematuhan keselamatan, selari dengan keperluan sektor industri berteknologi tinggi,” kata kenyataan itu, hari ini.

Menurut Yayasan LTAT, peserta akan memulakan fasa penempatan industri selama dua bulan bermula 1 Mac hingga 30 April depan.

“Bagi tahun 2026, Laksamana 3.0 dilaksanakan melalui tiga kohort dengan sasaran keseluruhan 40 peserta.

“Kohort 2 dijadualkan bermula pada April depan, manakala Kohort 3 pada Ogos, selaras dengan perancangan berfasa yang digariskan,” ujar kenyataan sama.

Pelaksanaan Laksamana 3.0 merupakan kesinambungan langsung kepada memorandum persefahaman yang dimeterai antara Yayasan LTAT dan Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia pada 21 Mei 2025. – – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI