fbpx
WINGHAM menghasilkan kek bertema ‘runway’ berharga RM292 juta.

5 pencuci mulut paling mahal di dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENCUCI mulut yang dimakan selepas hidangan utama menjadi pelengkap ‘perjalanan’ gastronomi yang cukup memukau. Rasanya yang manis, berkrim dan sejuk bersama persembahan hidangan yang memukau membuatkan pencuci mulut sangat menggoda untuk dinikmati. Bagi memberikan kemewahan pada rasa pencuci mulut, ia ditambahkan dengan elemen seperti emas, berlian dan bahan yang jarang ditemui. Sehubungan itu, pada minggu ini CitaRasa kongsikan lima pencuci mulut paling mahal di dunia seperti dilaporkan oleh Lifestyle Asia.

  1. Kek ‘runway’ Debbie Wingham

SEORANG pereka British, Debbie Wingham menghasilkan kek bertema ‘runway’ yang ditempah oleh seorang jutawan untuk majlis hari jadi dan pertunangan anaknya dengan nilai AS$75 juta (RM292 juta).

Wingham meniru suasana pertunjukan fesyen mewah pada kek itu dengan barisan hadapan dipenuhi orang ramai yang membawa beg tangan, cermin mata hitam, telefon bimbit serta tablet terkini.

Kek sepanjang 183 sentimeter itu dengan berat 450 kilogram (kg) terdiri daripada 120kg fondant dan 60kg coklat arca. Untuk menambahkan kilauan (glitter) pada kek tersebut, Wingham menggunakan 4,000 berlian pelbagai bentuk serta warna.

  1. Strawberries Arnaud

RESTORAN Arnaud di New Orleans, Amerika Syarikat menampilkan hidangan pencuci mulut dari abad ke-18 iaitu Strawberries Arnaud yang  dicipta oleh Pierre Arnaud dan isterinya, Jeanne yang tinggal di sebuah pulau di bandar Paris, Perancis.

Pencuci mulut berharga AS$9.85 juta (RM39 juta) ini menampilkan asas aiskrim vanila klasik, dikelilingi oleh strawberi yang berjus dan dihiasi dengan krim putar berbuih. 

Ia juga disertakan dengan topping kepingan emas 24 karat, sos coklat yang pekat dan pelbagai minuman keras mahal untuk meningkatkan rasa hidangan tersebut. 

Di samping itu, ia turut dihiasi cincin berlian 10.06 karat dan sudu emas.

PENCUCI mulut berharga RM39 juta ini menampilkan asas aiskrim vanila klasik, dikelilingi oleh strawberi yang berjus dan dihiasi dengan krim putar berbuih.
  1. Kek buah berlian

GEDUNG serbaneka Takashimaya di Tokyo, Jepun menghasilkan kek buah bernilai AS$1.72 juta (RM7 juta). Kek tersebut untuk tujuan promosi dan dipamerkan di kedai itu.Kek mewah itu menampilkan 223 berlian yang membentuk berat keseluruhannya 170 karat, sekali gus menyumbang kepada nilainya yang tinggi. Kek tersebut mengambil masa enam bulan untuk disiapkan.

  1. Sundae Absurdity

AISKRIM berharga AS$60,000 (RM234,000) ini bukan sahaja menggoda selera tetapi membawa pengunjung ke Gunung Kilimanjaro di Tanzania dengan keselesaan kelas pertama.

Seorang cef menunggu di puncak gunung, bersedia untuk membuat sundae menggunakan ais glasier yang diambil terus dari puncak gunung itu. Aiskrim vanila itu dihidangkan dengan pelbagai perisa lain. Pisang dan sirap yang digunakan menyempurnakan karya manis ini di samping menggunakan wain yang jarang ditemui. 

Ia juga dihidangkan bersama sudu era 1850-an yang menambah sentuhan sejarah pada setiap suapan.

AISKRIM vanila ini dihidangkan dengan pelbagai perisa lain termasuk pisang, sirap dan wain yang jarang ditemui.
  1. Puding Coklat Faberge Hotel Lindeth Howe Country House

 

Pencuci mulut mewah berharga AS$34,500 (RM134,550) ini telah dicipta oleh pakar masakan, Cef Marc Guibert di Hotel Lindeth Howe Country House di Windermere, Cumbria, England bertujuan untuk mencipta rekod dunia bagi puding coklat termahal.

Ciptaan Cef Guibert yang direka dengan bentuk replika telur Fabergé bersama beberapa hiasan mewah, merupakan monumen kepada kepakaran masakannya. Pencuci mulut ini merupakan simfoni perisa yang terdiri daripada empat coklat Belgium yang dicampur dengan sedikit oren, wiski dan pic. Gabungan mewah itu dipertingkat lagi dengan kaviar, champagne, kepingan emas 24 karat yang boleh dimakan dan berlian dua karat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN