fbpx
Pengusaha tepung pelita mengalami kesibukan tinggi pada bulan Ramadan.

Permintaan tepung pelita meningkat tahun demi tahun ketika Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIAP kali bulan Ramadan menjelma, tujuh beradik itu akan mula mempersiapkan perancangan dan operasi bagi pembuatan kuih tepung pelita yang dijalankan sejak turun-temurun.

Menjadi rutin saban tahun, setiap daripada mereka akan menggalas tugas masing-masing bagi memastikan perniagaan manisan tradisi berpusat di Selayang, Selangor itu dapat memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat.

Menurut salah seorang ahli dalam perniagaan Tepung Pelita 7 Beradik, Fatin Nur Ain Azman, 35, berniaga kuih tepung pelita sudah menjadi tradisi pada bulan Ramadan dan ia juga sangat signifikan sebagai juadah paling dicari buat berbuka puasa.

“Perniagaan ini merupakan warisan daripada ibu dan kami tujuh beradik masih meneruskan legasi tradisi ini dan mengekalkan resipi asli serta rasa autentik juadah tradisi itu.

“Tidak hanya itu, penjualan kuih tepung pelita secara harian dilakukan pada bulan Ramadan sahaja dan pada bulan-bulan lain hanya berdasarkan tempahan untuk majlis,” katanya ketika dihubungi CitaRasa baru-baru ini.

Tambahnya, bulan puasa boleh dikatakan sebagai musim kuih tepung pelita yang mana terdapat permintaan yang tinggi oleh pelanggan dari pelbagai lapisan masyarakat.

Kuih tepung pelita ialah sejenis kuih tradisional Melayu yang popular di Malaysia, khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu.

Kuih ini terkenal dengan rupa dua lapisannya yang berbeza warna dan rasa. Lapisan bawah biasanya berwarna hijau, diperbuat daripada campuran tepung beras, santan, gula dan jus daun pandan.

Bahagian ini mempunyai tekstur lembut dan sedikit kenyal dengan rasa manis serta aroma pandan yang harum.

Lapisan atas pula berwarna putih, diperbuat daripada santan pekat yang dimasak bersama sedikit tepung dan garam.

Bahagian ini memberi rasa lemak dan sedikit masin, sekali gus mengimbangi kemanisan lapisan bawah.

Proses penyediaannya memerlukan ketelitian. Lapisan hijau dimasak terlebih dahulu dan dituangkan ke dalam bekas daun pisang sebelum dibiarkan sedikit mengeras.

Kemudian, lapisan santan putih dituangkan di atasnya dan dikukus atau dimasak sehingga betul-betul masak. Selepas sejuk, kuih ini sedia untuk dihidangkan.

Kongsi Fatin Nur Ain, apa yang menjadikan kuih tepung pelita itu autentik adalah keharuman aroma dari bekas daun pisang dan teksturnya yang tidak terlalu cair atau pejal.

Ujarnya lagi, masyarakat hari ini semakin bijak menilai keaslian rasa dan kualiti sesuatu makanan. Justeru, tepung pelita yang disajikan menggunakan daun pisang masih menjadi pilihan utama kerana aromanya yang luar biasa dan membangkitkan memori lama.

Tepung Pelita 7 Beradik yang berpusat di Selayang, Selangor menjangkakan permintaan tepung pelita pada tahun ini meningkat pada kadar 30,000 biji kuih sehari.

Haruman daun pisang yang membaluti kuih ini memberikan sentuhan tradisional yang sukar ditandingi oleh pembungkusan moden. Ia digemari oleh semua peringkat umur, daripada warga emas hinggalah kanak-kanak.

“Selain itu, perpaduan rasa manis, masin yang seimbang dan boleh disajikan sejuk atau suhu bilik menjadikan kuih tersebut sangat digemari ramai serta dapat memuaskan palet rasa masyarakat.

“Faktor aroma, rasa dan tekstur ini menjadikan ia juga boleh diterima ramai daripada golongan kanak-kanak hingga warga emas yang pada masa sama kekal relevan hingga hari ini,” ujarnya yang berasal dari Kuala Lumpur itu.

Katanya lagi, hal itu juga menjadikan permintaan terhadap kuih tersebut juga semakin meningkat setiap tahun iaitu dengan perningkatan produksi harian daripada 15,000 hingga 18,000 biji kuih sehari pada tahun 2024 kepada lebih 20,000 biji kuih tahun berikutnya.

Pada tahun 2026, Fatin Nur Ain memberitahu, dengan lebih 40 ejen sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, produksi kuih tepung pelita juga akan meningkat kepada 30,000 biji kuih sehari.

Selain Tepung Pelita 7 Beradik, satu lagi pengusaha tepung pelita popular Lembah Klang iaitu Tepung Pelita Paya Jaras juga tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan kuih tradisi tersebut di bulan Ramadan.

Kata pemiliknya, Wati Abd. Rahman, permintaan terhadap tepung pelita sentiasa meningkat setiap kali Ramadan.

Dengan kualiti dan rasa yang tidak berubah, ia menjadi antara kuih wajib di bazar dan di meja berbuka.

“Kejayaan ini bukan sahaja bergantung pada resipi, tetapi juga pada penggunaan bahan-bahan segar dan proses penyediaan yang betul.

“Jika bahan tidak segar, rasa akan berubah dan kualiti terjejas. Oleh itu, setiap langkah penyediaan diberi perhatian agar hasilnya sempurna. Bagi pengusahanya, kualiti akan menentukan reputasi dan kepercayaan pelanggan,” kongsinya.

Ujar Wati lagi, selain itu, peranan media sosial pada masa kini turut membantu memperluas lagi pengaruh Tepung Pelita Paya Jaras.

Pelanggan muda gemar berkongsi pengalaman dan gambar makanan yang mereka nikmati. Jika kualiti memuaskan, pujian akan tersebar dengan pantas.

Sebaliknya, jika terdapat kelemahan, ia juga mudah diketahui umum. Promosi dari mulut ke mulut yang disokong media sosial menjadikan reputasi sesuatu produk semakin kukuh.

“Rahsia utama kejayaan tepung pelita ini ialah konsistensi rasa, kualiti bahan dan keikhlasan dalam penyediaan.

“Setiap bekas yang dijual perlu memenuhi standard rasa yang sama. Prinsipnya mudah, jika pembuatnya sendiri tidak berpuas hati dengan rasa, pelanggan juga pasti merasainya,” jelas Wati.

Tambahnya, apabila pelanggan yakin terhadap kualiti, mereka akan menganggap tepung pelita ini sebagai juadah ‘wajib beli’ setiap kali Ramadan.

Kata Wati, dalam era pembungkusan moden yang banyak menggunakan plastik, tepung pelita yang dibalut dengan daun pisang tetap mempunyai tempat istimewa di hati masyarakat.

Walaupun plastik mungkin lebih praktikal dan kelihatan kemas, ia tidak mampu menandingi aroma dan rasa asli yang terhasil daripada daun pisang.

“Ramai pelanggan sendiri meluahkan bahawa apabila pembungkusan ditukar kepada plastik, sambutannya berkurangan. Mereka masih bertanya sama ada daun pisang digunakan kerana pada pandangan mereka, di situlah terletaknya ‘rasa sebenar’ kuih tradisional ini,” ujarnya.

Dalam hal ini, jelaslah bahawa faktor nostalgia dan tradisi memainkan peranan besar dalam mengekalkan populariti tepung pelita.

Warisan rasa tradisional ini membuktikan bahawa kesederhanaan yang dijaga dengan penuh komitmen mampu bertahan sepanjang zaman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN