“Wangkang Cina berpintu empat, empat-empat cucur ke laut, anak dagang mencari tempat, laksana ajal ditunda maut.”
Begitulah rangkap pantun yang tertera pada salah satu piring seramik yang dipamerkan di Pameran Piring Puisi Melayu, Muzium Etnografi Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Lebih 80 keping piring seramik dipamerkan dengan hiasan puisi Melayu dan tulisan jawi sebagai unsur utama.
Piring-piring ini merupakan warisan seni berusia lebih 100 tahun, dihasilkan sekitar tahun 1850-an hingga 1890-an melalui gabungan penghasilan tembikar Eropah dan kaligrafi tempatan.
Bagi menarik minat pembeli di pasaran alam Melayu, syair dan pantun dipilih sebagai hiasan pada permukaan piring berkenaan. Pameran ini mengetengahkan koleksi peribadi dua orang pengkaji sejarah, iaitu Abu Muawiyah dan Khairulanwar Rahmat.

Menurut Abu, kajiannya merekodkan sebanyak 41 biji piring seramik yang memaparkan variasi puisi Melayu dalam bentuk syair dan pantun.
“Sebanyak 40 biji piring merupakan keluaran Staffordshire, Britain yang dihasilkan sekitar tahun 1850-an, manakala satu lagi ialah keluaran Belanda yang bertarikh sekitar 1890-an.
“Staffordshire pada era abad ke-19 merupakan pusat pengeluaran seramik terbesar di Britain dan mendominasi pasaran Eropah, sekali gus mewujudkan persaingan antara firma-firma pengeluar untuk meneroka pasaran baharu,” katanya kepada CitaRasa.
Berdasarkan sejarah, alam Melayu dikenal pasti sebagai pasaran yang berpotensi besar berikutan keluasan wilayah dan jumlah masyarakat yang memahami bahasa Melayu serta tulisan jawi, meliputi kawasan seperti Tanah Melayu, Indonesia, Brunei, Singapura dan Selatan Thai.
Bahasa Melayu pada ketika itu berfungsi sebagai lingua franca dan digunakan secara meluas melalui medium tulisan jawi, sekali gus menjadi elemen budaya yang dikongsi bersama masyarakat di alam Melayu.
Dalam konteks pemasaran, hiasan pada bahagian muka hadapan piring memainkan peranan penting sebagai tarikan visual.

Justeru, penggunaan puisi Melayu dalam bahasa Melayu bertulisan jawi dipilih sebagai strategi utama untuk menarik minat pembeli di alam Melayu.
Syair dan pantun yang tercatat bukan sahaja berfungsi sebagai hiasan, malah mencerminkan budaya masyarakat yang menjadikan puisi sebagai medium hiburan, nasihat dan sebahagian daripada adat kehidupan.

Kongsi Abu lagi, sekitar era penghasilan piring-piring ini, tulisan jawi mempunyai kedudukan yang sangat kukuh dalam masyarakat Melayu.
“Tulisan jawi digunakan secara menyeluruh dalam bidang pendidikan, pentadbiran, perjanjian rasmi antara kerajaan British dan kerajaan Melayu, serta dalam urusan persuratan dan kehidupan seharian masyarakat.
“Oleh itu, penggunaan tulisan jawi pada piring seramik boleh dianggap sebagai satu usaha pengekalan identiti budaya masyarakat alam Melayu, di samping berfungsi sebagai daya tarikan pasaran,” katanya.
Dari sudut paleografi, tulisan yang tercatat pada piring-piring ini merupakan tulisan jawi klasik atau jawi lama yang tidak terlalu bergantung kepada huruf alif, wau dan ya.
Kajian turut mengenal pasti sekurang-kurangnya tiga orang juru tulis yang berbeza, salah seorang daripadanya dikenali sebagai Khatib Muhariz, manakala dua lagi tidak dikenal pasti.
Jelas Abu, perbezaan gaya tulisan menunjukkan kemungkinan salah seorang jurutulis tersebut merupakan orang luar.
“Berdasarkan perbezaan cara tulisan jawi pada piring koleksi ini, saya merasakan salah seorang daripadanya berkemungkinan seorang Eropah yang mempelajari bahasa Melayu.














