fbpx
Tangkap layar kejadian terbabit.

Yamaha 135LC lesap di parkir pangsapuri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAJANG – Polis memburu dua lelaki dipercayai terlibat dalam kes kecurian sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC di kawasan parkir sebuah pangsapuri di Beranang, di sini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 3.29 petang semalam.

Menurutnya, siasatan awal di lokasi kejadian termasuk penelitian rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati dua lelaki yang belum dikenal pasti dipercayai melakukan perbuatan tersebut.

“Susulan itu, tindakan mengesan dan menahan suspek sedang giat dijalankan ketika ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya mengambil langkah keselamatan tambahan termasuk menggunakan kunci tambahan bagi mengurangkan risiko kecurian motosikal. Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta menghubungi Pusat Kawalan Polis Daerah Kajang di talian 03-89114243 atau pegawai penyiasat, Sarjan P. Sarmadi di talian 019-3296634,” katanya.

Terdahulu, seorang pengguna akaun Threads memuat naik hantaran memohon bantuan orang ramai selepas motosikal milik suaminya dilaporkan hilang, selain turut berkongsi tangkap layar rakaman CCTV yang dipercayai memaparkan suspek. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN