fbpx
Gambar hiasan.

Jumlah dagangan Malaysia naik 12.6% Januari lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Prestasi perdagangan Malaysia bermula kukuh pada awal tahun 2026, dengan jumlah dagangan mencatatkan pertumbuhan dua digit 12.6 peratus tahun ke tahun kepada RM272.4 bilion, menurut laporan Jabatan Perangkaan hari ini.

Ia didorong oleh pertumbuhan eksport sebanyak 19.6 peratus kepada RM146.9 bilion, manakala import naik 5.3 peratus kepada RM125.5 bilion untuk menghasilkan imbangan dagangan RM21.4 bilion.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin menjelaskan, eksport semula merangkumi 26.1 peratus daripada jumlah eksport dan meningkat 51.5 peratus tahun ke tahun kepada RM38.3 bilion.

“Sementara itu, eksport domestik yang menyumbang 73.9 peratus turut berkembang 11.3 peratus kepada RM108.6 bilion.

“Lebihan dagangan melonjak 483.9 peratus, menandakan lebihan dagangan bagi bulan ke-69 berturut-turut sejak Mei 2020.

“Berbanding Disember 2025, eksport, import, jumlah dagangan dan lebihan dagangan masing-masing mencatatkan penurunan 3.9 peratus, 4.0 peratus, 3.9 peratus dan 3.2 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, peningkatan eksport disokong terutamanya oleh kenaikan penghantaran ke Amerika Syarikat (+RM5.8 bilion), diikuti oleh Taiwan (+RM4.4 bilion), Hong Kong (+RM4.3 bilion), Kesatuan Eropah (+RM2.5 bilion), China (+RM2.1 bilion), Vietnam (+RM1.9 bilion) dan Mexico (+RM1.7 bilion).

Peningkatan import pula sebahagian besarnya mencerminkan aliran masuk yang lebih tinggi dari China (+RM5 bilion), diikuti oleh Costa Rica (+RM1.8 bilion), Singapura (+RM1.5 bilion), Thailand (+RM1.5 bilion), Kesatuan Eropah (+RM882.9 juta), Hong Kong (+RM632.8 juta) dan Vietnam (+RM608.4 juta). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI