JOHOR BAHRU – Seorang suri rumah dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bandar Uda Utama di sini, tidak lena tidur mengenangkan nasib anak bongsunya yang terpaksa memakai tiub saluran kencing tamat tempoh sejak setahun lalu dan bocor.
Noor Suraya Saidin, 40, berkata, anaknya mempunyai sindrom Rett, sejenis penyakit genetik jarang jumpa yang menjejas perkembangan otak dan menyebabkan tulang Noor Qaira Danisah Mohd. Idzwan, 15, membengkok sehingga memberi kesan kepada paru-parunya.
Katanya, keadaan itu menyebabkan Noor Qaira yang turut menghidap asma dan jangkitan kuman dalam paru-paru terpaksa bergantung kepada tangki oksigen selain menggunakan tiub saluran di perut untuk makan.
“Kalau boleh, saya mahu lakukan yang terbaik untuk Noor Qaira, namun kos penjagaannya amat tinggi. Saya berasa terkilan kerana tidak mampu menukar tiub yang berharga RM1,000.
“Pendapatan suami sebagai penghantar surat hanya RM2,300 sebulan untuk menampung keperluan kami enam beranak. Kos menjaga Noor Qaira pula mencecah RM2,500 sebulan termasuk pembelian susu formula khas, tisu badan, lampin pakai buang dan tangki oksigen,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Noor Suraya dan suami melakukan kerja sambilan dengan menjual burger di kawasan rumah mereka. Selain Noor Qaira, anak lelaki Noor Suraya yang berusia 16 tahun pula mengalami masalah jantung.
Tambahnya, walaupun menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Baitulmal sebanyak RM500 dan RM300 sebulan, namun tidak mencukupi.
“Doktor mencadangkan rawatan fisioterapi di luar, tetapi kos RM150 hingga RM200 setiap sesi. Memang saya tidak mampu.Kami makan pun sekadar untuk mengalas perut,” ujarnya.
Kesusahan Noor Suraya turut mendapat perhatian Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash and Caryy, Mas Imran Adam yang menyampaikan sumbangan termasuk susu khas, lampin pakai buang berjumlah RM1,200.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyumbang ke akaun Maybank bernombor 5015 43158554 atau menghubungi Noor Suraya menerusi 011-37373902.















