SEOUL – Penyanyi kumpulan Blackpink, Jennie Kim membeli sebuah bangunan yang sebelum ini digunakan sebagai Kedutaan Iraq di Korea Selatan pada harga 20 bilionwonv(RM54.1 juta), lapor sebuah laman berita.
Menurut Sistem Pendedahan Harga Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan pada 11 Februari lalu, Jenny membeli tanah dan bangunan terletak di Dongbinggo-dong, Yongsan-gu, Seoul itu pada harga keseluruhan 20 bilion won, 24 Mei tahun lalu.
Jennie telah menyelesaikan proses pemindahan hak milik hartanah tersebut pada 3 Disember tahun yang sama.
Adalah dipercayai bahawa pembelian tersebut dibuat sepenuhnya secara tunai.
Kawasan itu berkeluasan 595 meter persegi dengan bangunan yang merangkumi tingkat bawah tanah hingga ke tingkat dua.
Lokasinya terletak berhampiran dengan gugusan kediaman kedutaan asing, termasuk Kedutaan Hungary dan Kedutaan Libya di Korea Selatan.
Bangunan yang dibeli dahulunya pernah digunakan sebagai Kedutaan Iraq di Korea Selatan.
Proses pengosongan telah pun selesai, dan Kedutaan Iraq yang terkini kini terletak di Hannam-dong, Yongsan-gu, Seoul.
Ini bukanlah kali pertama Jennie membeli hartanah.
Pada Julai 2023, dia dilaporkan telah membeli sebuah unit di vila mewah La TERRASSE Hannam berhampiran UN Village di Hannam-dong dengan harga 5 bilion won (RM13.5 juta) secara tunai.
Sementara itu, Kementerian Luar Iraq menafikan laporan media Korea Selatan yang mendakwa bahawa Baghdad menjual bekas bangunan kedutaan di Seoul kepada penyanyi K-pop terkenal itu.
Dalam satu kenyataan, kementerian tersebut menjelaskan bahawa mereka ‘tidak memiliki sebarang bangunan kedutaan atau hartanah kediaman di Korea Selatan’.
Menurutnya, Kedutaan Iraq di Seoul beroperasi di premis yang disewa di bawah kontrak sewaan yang diiktiraf secara rasmi, selaras dengan amalan diplomatik standard. – AGENSI














