fbpx
PENTAULIAHAN Munsyi Dewan akan dilaksana dalam kalangan pelajar Bahasa Melayu di Institut Pendidikan Guru. - GAMBAR HIASAN

Munsyi Dewan peluang emas pelajar IPG

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BARU-BARU ini, Menteri Pendidikan, Fadlina Sidek mengumumkan pentauliahan Munsyi Dewan akan dilaksanakan dalam kalangan pelajar Bahasa Melayu di Institut Pendidikan Guru (IPG).

Inisiatif bagi memperkukuh profesionalisme dan kepakaran bahasa itu disambut baik dan menarik perhatian ramai.

Usaha Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama IPGM ini bukan sahaja mengiktiraf kompetensi graduan IPG dalam bidang bahasa, malah mengangkat peranan guru sebagai ejen pembinaan tamadun melalui bahasa Melayu.

Istilah ‘Munsyi’ merujuk kepada individu yang mahir dalam bahasa, kesusasteraan dan persuratan. Pentauliahan ini selaras dengan aspirasi pendidikan negara untuk memperkukuh dasar bahasa kebangsaan dan memperkasa profesionalisme guru bahasa.

Pengerusi Pertubuhan Pensyarah Cemerlang IPG yang juga Pensyarah Cemerlang Gred Khas C (Bahasa Melayu), Norani Abd. Rahim berkata, inisiatif KPM itu akan menambah nilai kompetensi graduan yang dilahirkan oleh IPG.

Kelayakan untuk mendapatkan status Munsyi Dewan hakikatnya bukan mudah kerana perlu menjalani siri bengkel dan ujian, namun inisiatif itu dilihat sebagai satu peluang keemasan yang wajar direbut.

“Pentauliahan ini dilihat sebagai manifestasi pengiktirafan terhadap penguasaan bahasa Melayu yang tinggi dalam kalangan pelajar IPG. Dalam konteks latihan perguruan, pelajar IPG didedahkan kepada pendekatan pengajaran bahasa yang sistematik, pedagogi bahasa serta aplikasi praktikal dalam bilik darjah.

“Justeru, peluang kepada pelajar IPG untuk memperoleh pentauliahan ini mampu memperkukuh integrasi antara penguasaan teori bahasa dengan amalan pengajaran sebenar. Ini secara tidak langsung melahirkan guru bahasa yang berfungsi sebagai idola dalam penggunaan bahasa yang betul, tepat dan santun,” katanya.

Namun begitu, inisiatif untuk pelajar IPG ini turut memberi kesan kepada pensyarah Bahasa Melayu di IPG yang perlu setanding sebagai Munsyi Dewan berpengalaman.

Katanya, mereka bukan sahaja mengajar Bahasa Melayu, tetapi menjadi pakar rujuk linguistik dan penggunaan bahasa yang tepat dan berwibawa.

“Semestinya, pihak IPGM akan merangka pelan latihan pentauliahan Munsyi Dewan kepada pensyarah agar pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih bermakna.

“Ia merupakan usaha bagi pembinaan identiti guru sebagai cendekia bahasa. Mereka berperanan melahirkan rakyat yang mahir dan berketerampilan dalam berbahasa.

“Pelajar IPG yang ditauliahkan juga berupaya menjadi fasilitator latihan bahasa, pembimbing dan penggerak program pemerkasaan bahasa di sekolah kelak,” katanya.

Secara keseluruhannya, pentauliahan ini merupakan satu langkah progresif yang mampu meningkatkan kualiti guru bahasa Melayu.

Inisiatif ini bukan sahaja mengiktiraf kecekapan bahasa pelajar, malah berperanan sebagai pemangkin kepada pembangunan profesionalisme, kepimpinan bahasa dan kecemerlangan pedagogi.

Dengan pelaksanaan yang sistematik dan berterusan, pentauliahan ini diyakini mampu melahirkan generasi guru yang berwibawa, berilmu dan berupaya memartabatkan bahasa kebangsaan dalam landskap pendidikan masa hadapan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN