ALOR SETAR – Peniaga makanan khususnya di bazar Ramadan diingatkan supaya mengamalkan etika perniagaan yang baik bagi mengelakkan aduan popular setiap tahun seperti karipap ‘angin’ dan lauk kitar semula.
Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, semua peniaga termasuk yang lama dan baharu perlu memastikan setiap makanan yang dijual berkualiti.
“Cake amat ambil berat tentang isu keselamatan makanan kerana saban tahun terdapat aduan makanan tidak berkualiti yang sering kali menjadi trending dan disebut-sebut pengguna.
“Antaranya karipap angin, makanan berulat dan dipanaskan semula, makanan basi sehingga berlaku keracunan makanan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Kata beliau, bagi peniaga lama, gunakan pengalaman dalam industri makanan untuk menjaga kualiti makanan yang dijual yang mana kebanyakan mereka memiliki kedai makan atau restoran sendiri.
“Perkara sama juga perlu dipatuhi peniaga baharu, pastikan keselamatan dan kualiti makanan termasuk daripada segi rasa. Jika makanan sedap, sudah pasti pelanggan akan cari dan beli lagi,” ujarnya.
Mohamad Yusrizal juga menasihatkan kepada pengguna agar memilih makanan yang hendak dibeli dan tidak melakukan pembaziran.
“Jangan beli secara boros kerana Ramadan ini, bulan untuk kita kurangkan makan. Jagalah kesihatan dan amalkan pemakanan yang sihat. Sekiranya ada peniaga yang mempunyai reputasi buruk, pengguna ada hak untuk boikot,” tambahnya.














