SHAH ALAM – Tiada sebarang penjualan minyak masak peket secara besar-besaran kepada warga asing di sebuah pasar raya di Bangi dekat sini seperti yang tular dalam media sosial.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan pada pukul 10 pagi semalam di lokasi dan mendapati premis berkenaan menghalang pembelian barangan bersubsidi itu kepada warga asing.
“Tiada sebarang urusan jualan (minyak masak peket) berlaku dengan pihak premis menghalangnya di kaunter pembayaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, KPDN Selangor berkata, pemeriksaan lanjut terhadap aspek pematuhan undang-undang tetap diteruskan ke atas premis berkenaan.
“Pemeriksaan mendapati premis dipercayai gagal menyelenggara buku rekod barang kawalan berjadual seperti yang dikehendaki di bawah peraturan sedia ada,” ujarnya.
Sehubungan itu, satu tindakan telah diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Terdahulu, beberapa video tular memaparkan sekumpulan warga asing mengeluarkan minyak masak peket dari kotak untuk tujuan pembelian, sekali gus mengundang kecaman masyarakat tempatan. – KOSMO! ONLINE














