TUMPAT – Seramai 32 individu yang disyaki terbabit dengan kegiatan penyeludupan dan melakukan pelbagai kesalahan melibatkan jenayah rentas sempadan ditahan di Kelantan sejak awal bulan lalu.
Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, kesemua mereka melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Katanya, sepanjang tempoh itu, sebanyak 140 tindakan diambil melibatkan pelbagai kesalahan dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM439,666.
“Rampasan dan tangkapan dijalankan hasil risikan secara berterusan oleh anggota penguat kuasa KPDN di beberapa daerah berdekatan sempadan Malaysia-Thailand dan laluan utama di negeri ini.
“Siasatan mendapati, penyeludup memindahkan petrol secara haram ke dalam bekas simpanan sebelum ia diedarkan di pasaran gelap,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2026 di sini hari ini.
Aswadi memberitahu, sebanyak 46 kenderaan bernilai RM204,600 disita, manakala jumlah rampasan bagi 91 kes dianggarkan lebih RM88,000.
Tambahnya, rampasan petrol mencatatkan jumlah tertinggi sejak Januari lalu iaitu sebanyak RM25,022, diikuti tepung gandum (RM22,441), minyak masak (RM19,582), gula (RM13,967), diesel (RM4,388) dan tong gas petroleum cecair (RM2,794). – KOSMO! ONLINE














