KLANG – Cubaan membawa masuk tiga kontena mengandungi daging babi dan ikan sejuk beku bernilai lebih RM1.03 juta secara tidak sah berjaya dipatahkan pihak berkuasa di Pelabuhan Barat di sini, semalam.
Kesemua barangan itu dirampas hasil tiga operasi berasingan lebih dua jam bermula pukul 10 pagi dilaksanakan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Pusat Pemeriksaan Kontena CFS 4.
Komander Kawalan Pintu Masuk Pelabuhan Klang AKPS, Datuk Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, operasi pertama melibatkan satu kontena mengandungi babi sejuk beku yang diimport dari Belgium.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati hasilan haiwan seberat kira-kira 27,000 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM486,658.17.
“AKPS juga mengesan kontena berisi hasilan pertanian jenis ‘cat litter’ diimport dari China seberat 28,001 kg dan bernilai RM46,414.38.
“Sitaan terakhir sejam kemudian melibatkan kontena mengandungi hasilan ikan jenis ‘pangasius fillet’ dari Vietnam. Nilai rampasan itu berjumlah RM490,726.29 dengan beratnya 24,920 kg,” katanya hari ini.
Tambah Nik Ezanee, anggaran berat keseluruhan sitaan itu sebanyak 79,921.6 kg dan bernilai RM1,031,798.84
Ketiga-tiga kes itu masing-masing disiasat mengikut Seksyen 15(1), Seksyen 11(1) dan Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
“Ini melibatkan kesalahan tidak mematuhi syarat permit dan tiada permit import sah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) serta dokumen mengelirukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














