PETALING JAYA – Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebulat suara bersetuju melantik Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagi menjalankan tugas Timbalan Presiden.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ahli-ahli parti diminta supaya kekal tenang dan terus memberikan sokongan kepada kepimpinan parti dalam usaha membina semula kekuatan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
“Saya yakin dengan semangat kebersamaan dan kesetiaan ahli terhadap perjuangan parti, kita mampu mengharungi apa jua cabaran yang mendatang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, MPT Bersatu membincangkan langkah memperkukuhkan kedudukan parti susulan tindakan disiplin terhadap beberapa ahlinya.
Katanya, tindakan disiplin merupakan sebahagian daripada mekanisme yang diperuntukkan dalam perlembagaan parti bagi memastikan kestabilan dan kekukuhan organisasi.
“Tindakan ini bukan dibuat secara sewenang-wenangnya, lebih-lebih lagi apabila melibatkan pemimpin kanan parti. Sebelum keputusan diambil, usaha mencari titik perdamaian telah dilakukan menerusi beberapa siri pertemuan dan perbincangan dengan pihak terlibat, namun tidak berjaya,” katanya.
Menurut beliau, terdapat segelintir pihak yang didakwa berterusan melakukan sabotaj sehingga boleh menjejaskan perpaduan dan matlamat perjuangan parti.
Katanya, sebagai presiden, beliau bertanggungjawab memastikan parti kekal berada di landasan perjuangan asal serta tidak dirosakkan oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Selama bertahun-tahun saya mengambil pendekatan berhemah dalam berdepan pelbagai bentuk sabotaj dalaman dan tekanan dari dalam parti sendiri. Saya juga memberi ruang dalam barisan kepimpinan kepada individu yang diketahui tidak sehaluan demi memastikan perpaduan parti terpelihara.
“Namun, tindakan yang bercanggah dengan perlembagaan dan disiplin parti terus berlaku. Jika dibiarkan, ia boleh merosakkan parti serta mengecewakan ahli yang setia,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














