fbpx
Mohd. Khaidzir.

Zakat Selangor bidas kempen boikot, tekankan hak asnaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) tidak akan berdiam diri berdepan fitnah dan kempen negatif yang mengajak orang ramai supaya tidak membayar zakat di negeri ini termasuk sepanjang Ramadan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Khaidzir Shahari berkata, pihaknya mempunyai Bahagian Komunikasi Korporat yang bukan sahaja menyelaras komunikasi, kempen serta penjenamaan, malah memantau ‘suhu’ media sosial dari semasa ke semasa.

Menurut beliau, kritikan terhadap aspek pengurusan adalah perkara biasa dan boleh dijadikan ruang penambahbaikan tetapi seruan supaya tidak membayar zakat disifatkan sebagai tindakan tidak bertanggungjawab.

“Sebenarnya saya amat kecewa apabila sebarang isu negatif di media sosial yang tular kemudian dikaitkan dengan seruan jangan bayar zakat di Selangor.

“Kalau dikatakan pengurusan zakat tidak efisien atau ada kelemahan, saya boleh terima dan kita akan perbaiki. Namun apabila kempen itu menyeru jangan bayar zakat di Selangor, itu saya tidak boleh terima,” katanya hari ini.

Sebelum ini, tular tindakan pengguna media sosial yang mengajak umat Islam memboikot pembayaran zakat dan pelaksanaan wakaf di Selangor susulan isu pencerobohan tanah perkuburan Islam di PJS4, Petaling Jaya.

Mohd. Khaidzir berkata, tindakan sedemikian bukan sahaja menjejaskan reputasi institusi zakat, malah memberi kesan langsung kepada kadar agihan bantuan bulanan dan program kebajikan
golongan asnaf.

Tegasnya, pendekatan berhemah dan bertanggungjawab amat penting dalam menyuarakan pandangan supaya tidak menjejaskan keseluruhan ekosistem ekonomi dan kebajikan negeri.

“Kalau institusi zakat kita sakit atau tidak sihat, ia akan menyebabkan kepincangan kepada keseluruhan ekosistem ekonomi di Selangor. Masing-masing ada hak untuk bersuara, tetapi pastikan secara berhemah dan bertanggungjawab,” ujarnya.

Tambah beliau, Skuad Saidina Umar (SSU) serta pasukan siber sentiasa responsif sepanjang tahun dalam menangani isu yang dibangkitkan netizen dan tidak hanya tertumpu pada bulan Ramadan.

“Pasukan kita akan menilai setiap isu, sama ada ia timbul kerana ketidakpuasan hati atau ada agenda tertentu. Apa pun, matlamat kita tetap sama iaitu memastikan institusi zakat terus menjadi medium membantu masyarakat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN