fbpx
Mhd. Dohri (kiri) dan Koo Ham tengah melihat perigi yang digunakan untuk bekalan air di kediamannya di Batu 37, Kampung Kota, Beruas hari ini.

Tiga keluarga bergantung air perigi lebih 60 tahun akhirnya dibela

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERUAS – Selepas lebih 60 tahun mendiami Kampung Kota di Beruas dan bergantung sepenuhnya kepada air perigi, tiga buah keluarga di Kampung Kota, Beruas akhirnya menarik nafas lega apabila mereka kini menerima bekalan air bersih dari Lembaga Air Perak (LAP).

Menurut Mhd. Dohri Ismail, 72, dia serta keluarganya telah menetap di lokasi berkenaan sejak 1963 namun tidak pernah mendapat bekalan air paip bersih sejak tempoh berkenaan.

“Masalah yang dihadapi adalah laluan masuk ke rumah kami terletak berhampiran tanah persendirian dan pemiliknya tidak memberi kebenaran untuk kerja-kerja pemasangan paip air.

“Jadi, memang kami guna air perigi berhampiran rumah untuk segala urusan harian seperti memasak, minuman dan membasuh pakaian,” katanya kepada pemberita di kediamannya di Batu 37, Kampung Kota di Beruas hari ini.

Mhd. Dohri berkata, mereka akhirnya menerima bekalan air bersih minggu lalu apabila pemilik tanah persendirian tersebut memberi persetujuan untuk pemasangan paip air di kawasan tersebut.

Katanya, usaha mendapatkan kebenaran itu dipermudahkan menerusi pertolongan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham yang turut membiayai pemasangan paip air tersebut bernilai kira-kira RM8,863.

“Dua lagi rumah yang turut menerima bekalan air bersih itu adalah milik bapa, Ismail Sulaiman, 98, dan adik saya, Abdul Hamid, 62.

“Menjelang Ramadan ini, memang kami bersyukur kerana akhirnya mampu untuk menikmati air bersih di rumah sendiri. Sebelum ini saya dan isteri serta anak-anak hanya mampu menggunakan air perigi,” katanya.

Katanya, dia yang bekerja kampung dengan pendapatan sekitar RM300 hingga RM600 sebulan terpaksa mengeluarkan belanja kira-kira RM200 sekiranya pengepam air perigi berkenaan rosak.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata, perigi berkenaan juga akan kering sekiranya musim kemarau melanda dan mereka terpaksa mendapatkan bekalan air dari masjid berdekatan.

“Memang kami berjimat-cermat kalau guna air perigi. Kena masak dulu air itu sebelum digunakan, bahkan sebelum ini pun baju sekolah anak-anak bertukar warna kuning ekoran menggunakan air itu untuk membasuhnya.

“Memang saya rasa sangat bersyukur kerana akhirnya setelah lebih 60 tahun, kami mampu menggunakan air bersih di kediaman sendiri,” kata pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN