fbpx
Malaysia merekodkan pertumbuhan ekonomi menggalakkan tahun lepas, mengatasi negara ASEAN lain seperti Singapura, Indonesia dan Filipina. - Gambar hiasan

Ekonomi Malaysia berkembang 5.2% tahun lepas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.2 peratus pada tahun 2025, mengatasi pencapaian 5.1 peratus pada 2024, menurut laporan Jabatan Perangkaan hari ini.

Prestasi tersebut disokong pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 6.3 peratus pada suku tahun keempat 2025, yang merupakan pertumbuhan suku tahunan tertinggi Malaysia sejak suku tahun keempat 2022, yang merekodkan 7.4 peratus.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan ekonomi pada suku tahun keempat 2025 terus disokong oleh pengukuhan permintaan domestik.

Jelasnya, ia dipacu oleh aktiviti pelancongan semasa cuti umum dan cuti persekolahan, peningkatan perbelanjaan persekolahan susulan pelarasan kalendar akademik 2026, perbelanjaan perayaan, kestabilan pasaran buruh serta aktiviti pelaburan yang berterusan.

“Aktiviti ekonomi pada suku tahun ini turut diperkukuh oleh penganjuran ratusan mesyuarat, persidangan dan program antarabangsa selaras dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, serta Pilihan Raya Negeri Sabah.

“Pada masa yang sama, perkembangan pesat aktiviti pusat data telah menyumbang secara signifikan kepada peningkatan pelaburan dan aktiviti pembinaan.

“Perkembangan ini turut merangsang pertumbuhan subsektor utiliti dan teknologi maklumat & komunikasi (ICT), meningkatkan prestasi eksport negara dan mencipta peluang pekerjaan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Jabatan Perangkaan, prospek ekonomi Malaysia tahun ini dijangka terus kukuh, disokong oleh permintaan domestik khususnya perbelanjaan isi rumah dan aktiviti pelaburan.

Selain itu, Tahun Melawat Malaysia 2026 dijangka menjadi pemangkin utama kepada pengembangan sektor perkhidmatan, sekali gus meningkatkan sumbangan pelancongan kepada KDNK negara melalui pertambahan ketibaan pelancong, perbelanjaan domestik serta aktiviti berkaitan seperti pengangkutan, penginapan dan peruncitan.

“Pada masa yang sama, aktiviti pusat data terus berkembang sebagai industri strategik, disokong oleh pelaburan berintensif modal, ketersediaan infrastruktur digital dan bekalan tenaga yang stabil.

“Rangkaian projek yang kukuh ini bukan sahaja menarik pelaburan berskala besar, malah mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta merangsang permintaan dalam subsektor utiliti, ICT dan perkhidmatan profesional.

“Secara keseluruhan, perkembangan ini memperkukuh daya tahan ekonomi, memperluas rantaian nilai domestik serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab serantau bagi perkhidmatan, pelancongan dan pelaburan digital,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI