fbpx
Keadaan motosikal jenis LC135 yang ditunggang mangsa selepas merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Banggol Judoh - Dewan Besar Labok dekat Machang semalam.

Lelaki maut motosikal rempuh kenderaan pacuan empat roda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MACHANG – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam kejadian di Jalan Banggol Judah – Dewan Besar Labok, Kampung Binjai di sini semalam.

Mangsa, Muhammad Hafiszul Ezani, 19, meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan dada ketika sedang menerima rawatan di Hospital Machang.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku pada pukul 9.15 malam ketika kenderaan pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki berusia 26 tahun bersama isterinya sedang dalam perjalanan dari Banggol Judah menghala ke arah Labok.

Katanya, sewaktu tiba di lokasi kejadian, kenderaan itu telah memberi isyarat untuk membelok masuk ke simpang sebelah kanan jalan.

“Bagaimanapun, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 yang datang dari arah bertentangan telah merempuh bahagian pintu hadapan sebelah kiri kenderaan itu.

“Kemalangan itu menyebabkan Muhammad Hafiszul mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan dada sebelum dibawa ke Hospital Machang untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Mohd. Zamri, penumpang hadapan kenderaan itu yang berusia 25 tahun turut mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.

Tambahnya, bagaimanapun, pemandu kenderaan pacuan empat roda tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN