PETALING JAYA – Mengangkat situasi hubungan pernah dilalui oleh orang ramai iaitu ‘suka dalam diam’, penyanyi dan penulis lagu Indonesia, Allan Andersn tampil dengan single terbaharu berjudul Mau But Malu, sebuah lagu pop berenergi dengan sentuhan city pop moden yang ringan, ‘groovy’ dan mudah melekat di telinga.
Single ciptaan Allan ini dilancarkan di semua platform penstriman digital bermula 12 Februari 2026 dan menampilkan sisi muzik Allan yang semakin matang, namun kekal dengan identiti pop yang bercerita mengenai perasaan dan emosi yang dekat dengan pengalaman hidup semua.
Mau But Malu yang diambil daripada frasa mahu tapi malu membawa naratif yang ringkas tetapi mengena. Seseorang yang selalu ada di sisi, jadi tempat bercerita, jadi sistem sokongan bila kawan patah hati, tetapi pada masa sama, terperangkap dengan perasaan sendiri.
Dalam lirik, Allan menggambarkan momen-momen yang comel dan relatable, namun apa yang menjadikan lagu ini lebih menarik ialah cara ia disampaikan. Walaupun temanya friendzone dan confession, nuansa city pop yang segar menjadikan Mau But Malu terasa ringan, catchy dan sesuai menjadi lagu tema mereka yang sedang berada dalam situasi sebegini.
Menurut Allan, dia mahu Mau But Malu menjadi lagu yang menyeronokkan untuk didengar, sambil membuat orang tersenyum sebab ia terlalu dekat dengan realiti.
“Saya memang nak lagu ini bunyi fun dan groovy sebab situasi sebegini selalu terjadi dalam hidup kita. Kadang-kadang kita gelak sendiri, kadang-kadang kita cringe sendiri. Tapi itulah yang buat cerita ini dekat di hati,” katanya.
Allan turut menyifatkan lagu ini sebagai mesej ‘cakap terus’ yang disampaikan dengan cara santai, bukan berat.
“Bagi saya, lagu ini bukan nak buat orang down. Ia seperti lagu tema untuk orang yang nak bagi ‘hint’, bayangan apa yang dia sedang rasakan. Pada akhirnya, akan tinggal dua pilihan sahaja, sama ada cakap iya atau tidak. Kalau tidak, penat juga menunggu,” ujarnya tertawa.
Berasal dari Tahuna, sebuah pulau kecil di Indonesia, Allan dikenali menerusi penulisan lagu yang jujur, dekat di hati dan sinematik.
Menerusi Mau But Malu, Allan meneruskan pendekatan tersebut namun membalutnya dengan susunan muzik yang lebih segar dan moden, menjadikan lagu ini sesuai untuk pendengar yang sukakan pop catchy dengan elemen city pop kontemporari.
Sebagai sebahagian daripada promosi, Allan turut membawa Mau But Malu ke pentas menerusi showcase intim di Kuala Lumpur pada 6 Februari 2026 serta Johor Bahru pada 14 Februari 2026. – KOSMO! ONLINE














