JOHOR BAHRU – Sebanyak 30 buah rumah atas air musnah dalam kebakaran di penempatan Orang Asli 1, Jalan Dedaru 11, Kampung Teluk Jawa, di sini pagi tadi.
Komander Operasir Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan I Mohd. Subri Md. Isa berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 7.04 pagi dan tiga buah jentera bersama 28 anggota daripada BBP Pasir Gudang dan BBP Johor digerakkan ke lokasi.
“Kebakaran melibatkan perkampungan atas air berstruktur sementara yang dibina menggunakan kayu, papan dan zink. Kebakaran memusnahkan kira-kira 90 peratus rumah tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mohd. Subri berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana semua penghuni sempat menyelamatkan diri. Kebakaran turut menyebabkan kerosakan dua bot, sebuah kereta dan enam buah motosikal.
“Pasukan bomba menggunakan air laut dan pam untuk memadam kebakaran. Api berjaya dikawal pada pukul 7.41 pagi dan kerja-kerja pemantauan masih diteruskan di lokasi bagi memastikan tiada sisa api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.-KOSMO! ONLINE














