KELANTAN The Real Warriors (KTRW) serius memburu trofi Piala Cabaran dengan meletakkan sasaran juara menjelang aksi suku akhir kedua menentang Imigresen FC pada 16 Februari ini.
Sebagai rekod, gergasi Pantai Timur itu sudah ‘sebelah kaki’ ke peringkat separuh akhir apabila melakar kemenangan tipis 2-1 ke atas The Mighty Tigers dalam aksi pertama di tempat lawan pada Ahad lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif KTRW, Datuk Mohd. Irwan Rizal berkata, sasaran untuk memburu trofi Piala Cabaran itu telah ditetapkan sendiri oleh barisan pemain.
“Kalau boleh dah tentulah kita nak menang Piala Cabaran pada musim ini. Ia bukan sahaja sasaran pihak pengurusan, malah barisan pemain dan jurulatih cukup bersemangat.
“Namun, mereka ambil pendekatan untuk fokus satu perlawanan ke satu perlawanan. Kita ada satu lagi tugas getir pada aksi kedua nanti dan harap kita dapat mara ke penghujungnya,” katanya ketika ditemui hari ini.
Sementara itu, Mohd. Irwan mengesahkan tiada isu tunggakan gaji yang dialami oleh pasukan KTRW pada musim ini tetapi hanya kelewatan pembayaran bagi imbuhan bulan Januari.
“Saya bersikap jujur, kita ada kelewatan sedikit pembayaran gaji pada bulan Januari yang akan diselesaikan dalam masa terdekat.
“Situasi ini disebabkan kita terpaksa selesaikan tuntutan serta kekangan yang timbul sebelum ini dan saya akan maklumkan kepada pasukan nanti,” katanya. – KOSMO! ONLINE














