Asalnya, kami hanya lepak berborak di warung dan terkeluarlah cerita pasal memancing udang galah. Lama juga tidak memancing haiwan bersepit ini, terbit pula idea untuk mencarinya di Bagan Datuk, Perak pada hujung minggu itu.
Saya tidak biasa dengan perairan di sana, maka rakan yang lebih berpengalaman dijemput untuk menunjuk arah lubuk-lubuk berpotensi.
Kami bergerak dari Puncak Alam, Selangor sekitar pukul 2 pagi dan tiba di Dataran Bagan Datuk pada pukul 4.30 pagi untuk berehat seketika. Selesai solat subuh, bersarapan dan membeli bekalan makanan untuk makan tengah hari nanti, kami terus ke jeti.
Kami telah menempah dua buah bot untuk trip ini. Saya mengemudi sendiri sebuah bot bersaiz 7.3×2 meter dengan bernadikan enjin Suzuki 40hp.
Saya mengikuti bot satu lagi yang dipacu oleh tekong Che Ahmad Yahya kerana tidak beberapa arif dengan lubuk-lubuk udang galah di sungai ini.
Dari jauh kelihatan Che Ahmad memperlahankan botnya dan meminta Ijam yang duduk di bahagian hadapan bot untuk melabuhkan sauh. Nampaknya, mereka sudah memuktamadkan labuhan pertama hari itu.
Saya melihat di sekeliling untuk mencari lubuk yang berpotensi yang teduh dan terus parkir bot kira-kira 15 meter dari mereka.
Double strike
Tidak sampai sepuluh minit sudah terdengar hilai ketawa dari bot mereka, sebelum terlihat tekong telah mendapat double strike udang galah, namun ia bukanlah saiz idaman.
Getuan udang galah betul-betul rancak di lubuk yang mereka parkir bot kerana Che Ahmad kena double strike lagi. Lan pula menuruti dengan seekor ‘jenggo’ iaitu panggilan untuk udang galah bersepit biru saiz kasar.
Sementara di bot saya, Zaini menjadi pemancing pertama menaikkan udang galah saiz cilik, ini diikuti oleh Syahir dengan saiz sama. Saya hanya dapat seekor ikan lampam dan seekor tilan.
Selepas itu, suasana menjadi senyap, saya mengambil keputusan untuk berpindah lubuk. Sambil melintasi bot Che Ahmad, dia ‘membakar’ kami dengan menunjukkan hasil pancingan mereka.
Bila saya menunjukkan ikan yang saya dapat, Che Ahmad berkata, ikan tidak ‘masuk buku’, sebab hanya udang galah yang ada ‘poin’.
Saya hanya mampu tersenyum kerana masih belum dapat lagi udang galah yang dihajati.

Sesi tengah hari
Matahari semakin meninggi, namun cuaca tidaklah terik sangat, tetapi peratusan udang memakan umpan tidak serancak sewaktu pagi tadi. Pada pukul 12 tengah hari barulah saya dapat seekor udang galah kategori remaja, itu pun setelah beberapa kali berpindah tempat.
Saya masih tidak berani mencuba lubuk-lubuk yang terlalu jauh dari bot Che Ahmad kerana takut sesat. Asalkan masih lagi nampak botnya, saya rasa yakin dan selamat.
Saya perhatikan mereka sakan bergasak udang galah, boleh kedengaran dari jauh Che Ahmad berteriak, ‘haa, naik seekor’.
Tidak lama selepas itu, terdengar lagi dia berseloroh, ‘naik seekor lagi, la,la,la’ sambil menyanyi riang.
Begitulah senarionya sehingga kami tidak terbilang berapa ekor jenggo yang dia berjaya naikkan.
Mungkin dengan teknik dua mata kail berkembar pada satu perambut panjang dua jengkal yang dia gunakan membuatkan udang galah sukar terlepas sebaik sahaja menggetu umpannya.
Seperkara lagi, sebagai pemancing regular di sungai ini, pasti dia lebih arif tentang kedudukan udang dan lubuk-lubuk yang berpotensi berbanding kami.
Menjelang pukul 2 petang, udang galah mula kurang bernafsu terhadap umpan yang kami hulurkan.
Kami cuba juga berpindah ke banyak tempat, namun hasilnya tetap kosong. Kesudahannya, saya parkir di tempat teduh dan mengambil kesempatan untuk tidur sebentar.
Rakan-rakan satu bot dengan saya tidak boleh tahan jika joran langsung tidak berkutik dek udang galah.
Terus saya dikejutkan daripada tidur dan pada pukul 4 petang kami berpindah lokasi.
Nasib baik di liku sungai ini kami berada di ‘rumah’ udang galah, dapatlah menambah jumlah hasil tangkapan.
Seperti biasa, jika banyak udang galah dinaikkan di satu-satu lubuk itu, lama-kelamaan ia akan menjadi ‘senyap’, dan kami harus berpindah lubuk lagi.
Hujan renyai mulai turun dan saya melabuhkan bot di satu beting cetek dengan satu sauh di hadapan dan satu lagi di belakang bot supaya kedudukan bot melintang arus sungai.
Dengan cara ini, semua orang dapat memancing dengan lebih selesa.
Di sini, saya akhirnya dapat seekor jenggo saiz idaman, hujan pula semakin lebat menyebabkan kami terus menamatkan trip.
Kami sangat berpuas hati dengan khidmat tekong Che Ahmad yang menunjukkan lubuk-lubuk udang, serta bersama-sama memancing dan mengajar kami teknik khusus memancing di sungai ini.















