fbpx
HOE YEAN bertekad untuk merakam catatan kebangsaan baharu sebagai langkah awal ke Sukan Komanwel Glasgow.

Hoe Yean pasang sasaran baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KHIEW Hoe Yean terus memasang sasaran untuk kembali mencatat masa sekitar satu minit 47 saat (s) dalam acara 200 meter (m) gaya bebas sebagai sebahagian daripada persiapan menuju Sukan Komanwel Glasgow dan Sukan Asia Nagoya hujung tahun ini.

Atlet berusia 23 tahun itu merangkul pingat emas ketiganya pada Kejohanan Kumpulan Umur Antarabangsa Malaysia di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil baru-baru ini selepas menamatkan perlumbaan 200m gaya bebas dengan catatan 1:49.94s.

Perenang Hong Kong, Lo Tsz Lam meraih perak dengan masa 1:51.67s, manakala rakan Hoe Yean, Barry Lai menamatkan saingan di tempat ketiga dengan 1:52.08s.

Meskipun kemenangan itu diraih tanpa tentangan besar, Hoe Yean mengakui fokus utamanya masih belum dipenuhi kerana dia masih memburu kemunculan semula dalam kelompok masa 1:47, yang belum dicapainya sejak beberapa musim lalu.

Rekod terbaik peribadinya bagi acara tersebut ialah 1:47.80s, manakala rekod kebangsaan 1:47.36s kekal milik Welson Sim yang dilakar pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Hoe Yean menjelaskan usaha untuk kembali ke catatan itu menuntut peningkatan ketara dari segi kelajuan permulaan dan kekuatan di hujung perlumbaan, khususnya selepas fokus latihannya lebih tertumpu kepada acara 400m gaya bebas.

“Untuk kembali ke 1:47 memang sentiasa menjadi sasaran. Saya kini lebih banyak berlumba dalam acara 400 meter, jadi kami sedang berusaha mendapatkan semula kelajuan di bahagian awal perlumbaan,” katanya.

Pemenang dua pingat emas Sukan SEA itu turut menegaskan bahawa pada peringkat awal musim, aspek pelaksanaan strategi perlumbaan lebih diutamakan berbanding catatan masa semata-mata.

“Tujuan perlumbaan ini bukan sekadar untuk mencatat 1:48 atau 1:47, sebaliknya memastikan pelan perlumbaan dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Selepas berehat selama tiga minggu susulan Sukan SEA, Hoe Yean kembali menjalani latihan pada awal Januari dan percaya prestasi semasanya memberi petunjuk jelas terhadap aspek yang perlu diperhalusi menjelang kejohanan utama akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN