Kebiasaannya, saya bersama rakan-rakan akan pergi memancing di beberapa lokasi seperti kawasan kunci air, tali air, sawah padi dan paya. Ikan yang menjadi target adalah puyu, haruan dan ikan-ikan kecil lain.
Lokasi pertama yang kami cuba adalah kawasan sawah padi yang masih belum diusahakan kerana pemiliknya menunggu hingga cuaca elok barulah akan ditabur benih padi.
Joran pole atau telescopic adalah yang terbaik untuk memancing dengan teknik berpelampung bersama seutas tali mono dengan mata kail kecil, saiz antara tujuh hingga 10 diikat di hujungnya. Umpannya pula adalah cengkerik atau potongan roti Gardenia.
Sebaik sahaja persiapan selesai dibuat, kami segera melabuhkan umpan. Danish menggunakan cengkerik, manakala saya dan Naqib menggunakan roti.
Hari itu ikan puyu lebih memilih cengkerik berbanding roti.
Kami berjaya menaikkan ikan puyu pelbagai saiz. Yang bersaiz kecil dilepaskan, hanya bersaiz kasar sahaja dibawa pulang sebagai juadah keluarga.
Naqib yang bosan memancing ikan puyu beralih arah memancing haruan pula dengan menggunakan soft frog ditambah kipas besi di hadapannya di parit berhampiran.
Hasilnya, dia berjaya mendapat tiga ekor haruan bersaiz kecil dan semua dilepaskan kembali.
Kali Kedua
Hari minggu seterusnya, cuaca semakin baik dari sehari ke sehari, boleh dikatakan 90 peratus pemanÂcing mula kembali ke lubuk-lubuk yang ditinggalkan pada musim tengkujuh lalu.
Kali ini, Zikri menunjukkan arah lokasi memancing yang biasa dia pergi di satu tali air berhampiran rumahnya.
Di sini, dia biasanya memancing ikan haruan.
Sememangnya benar seperti apa yang dia cakap, kami mula menarik haruan seekor demi seekor.

Haruan di tali air itu seperti kelaparan akibat musim banjir yang berpanjangan. Cuma saiznya tidaklah sebesar mana, namun seronok dilayan.
Memandangkan Zikri lebih teruja memburu haruan, saya dan Bob pula cuba memancing spesies ikan lain yang ada di dalam tali air itu dengan menggunakan umpan roti.
Seperti biasa, kami akan tabur dahulu sedikit cebisan roti sebagai rasuah supaya ikan yang ada akan tertumpu ke tapak labuhan umpan nanti.
Beberapa minit kemudian, roti rasuah yang terapung itu mula digetu sekumpulan ikan-ikan kecil.
Biasanya, kumpulan ikan Âseluang akan menerjah paling awal pada roti rasuah.
Itu merupakan satu tanda yang positif, tidak perlu diganggu ikan-ikan kecil berkenaan kerana pasti tidak lama kemudian ikan lebih besar akan menghimpit.
Ikan lebih tertarik pada rasuah yang terapung, maka saya menukar cara mencangkuk umpan roti di mata kail.
Roti yang telah dipotong dadu itu tidak akan dipicit selepas disemat ke mata kail supaya ia terapung di atas permukaan air.
Kami menghulurkan umpan roti ke arah ikan yang menimbul dan umpan Bob terus disergap.
Hasilnya, seekor ikan patung berjaya dinaikkannya.
Biarpun ia masih dikategorikan spesies ikan kecil tetapi perlawanan dengan ikan patung cukup menarik kerana Bob menggunakan set panÂcing ultra-light.
Selepas itu, kami turut menaikkan beberapa ekor ikan seluang, patung, lampam jawa dan pipi merah yang jarang didapati.
Memandangkan cuaca semakin panas, kami bertiga mengambil keputusan menamatkan trip dengan tangkapan pelbagai spesies ikan.
Beginilah rutin kami sejak air banjir surut pada awal tahun ini
Setiap minggu, kami menghiburkan diri dengan memancing pelbagai jenis ikan mengikut teknik bersesuaian berpadanan saiz ikan dihajati.
















