KUALA LUMPUR – Persekutuan Badminton Dunia (BWF) disarankan mengkaji semula model perniagaan melibatkan kejohanan utama supaya adil dan seimbang bagi menggalakkan lebih banyak negara melakukan bidaan untuk menganjurkan Piala Thomas dan Uber serta Piala Sudirman.
Kenyataan itu disuarakan Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh berikutan kekurangan minat ditunjukkan mana-mana negara dan ia dapat dilihat masih tiada pembida bagi menganjurkan Piala Sudirman 2027.
Beliau berkata, perubahan format selain jumlah penyertaan yang diperluaskan merupakan satu perkara positif, namun daya tarikan kejohanan selain kos penganjuran semakin meningkat menjadi isu utama.
“Melakukan perubahan terhadap format kejohanan merupakan sesuatu yang bagus tetapi BWF perlu memberikan perhatian kepada dua perkara iaitu mengapa negara-negara tidak membida untuk menjadi tuan rumah.
“Kedua adalah bagaimana untuk mengekalkan minat kepada kejohanan-kejohanan besar ini. Saya tidak pasti sama ada menambah tempoh kejohanan dapat membantu ataupun tidak,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.
Kenny berharap BWF dapat mencari langkah terbaik bagi menjadikan kejohanan-kejohanan itu lebih menarik kerana ketika ini ia kurang mendapat sambutan pada hari awal pertandingan.
Beliau turut menjelaskan, BAM selaku badan induk sukan badminton negara juga tidak akan melakukan bidaan bagi menganjurkan kejohanan utama selagi model perniagaan diguna pakai BWF membebankan tuan rumah.
“Untuk kita membida kejohanan besar, perlu ada model perniagaan yang adil dan seimbang antara tuan rumah dan BWF. Kita bukan organisasi berorientasikan keuntungan, penganjuran tidak seharusnya membebankan kewangan persatuan,” ujarnya.
Terdahulu, BWF mengumumkan pusingan akhir Piala Thomas dan Uber serta Piala Sudirman diperluaskan kepada 24 pasukan berbanding 16 sebelum ini selepas badan induk dunia itu melakukan penstrukturan semula kejohanan.
Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah kejohanan utama BWF adalah ketika menganjurkan Piala Sudirman pada 2013. – KOSMO! ONLINE














