fbpx
King Sing ketika ditemui pemberita pada Majlis Peluncuran Kempen Mesra Malaysia di KL Sentral, hari ini. Foto oleh SYAKIR RADIN/KOSMO!

‘Layan pelancong macam dia hutang 10 tahun tak bayar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menegur segelintir pengendali dan penjual di pusat beli-belah yang didakwa tidak mesra terhadap pelancong sehingga menjejaskan imej negara.

Menurut beliau, terdapat aduan daripada pelancong yang memaklumkan layanan diterima seolah-olah mereka berhutang, sedangkan sebagai negara tuan rumah, Malaysia perlu menunjukkan sikap lebih profesional dan berhemah.

“Kita mahu minta penjual atau outlet di pusat beli-belah supaya lebih mesra. Janganlah macam ada pelancong beritahu, bila dia masuk nak beli barang, layanan yang diberikan macamlah pelancong itu berhutang 10 tahun tak bayar.

“Mestilah tunjuk yang kita melayan mereka dengan baik,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran Kempen Mesra Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) di sini, hari ini.

King Sing berkata, usaha membudayakan sikap mesra bukan hanya tertumpu kepada pelancong semata-mata, sebaliknya perlu diterapkan dalam kalangan rakyat Malaysia sendiri.

“Kita mesti mesra rakyat, mesra Malaysia. Kita mahu buktikan Malaysia ini cukup mesra. Jangan sampai imej kita terjejas dan orang fikir kita negara yang tidak mesra,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan akan mengadakan perjumpaan dengan pengurusan pusat beli-belah di seluruh negara selepas Tahun Baharu Cina bagi menyampaikan mesej sewajarnya agar perubahan dapat dilakukan terutama ketika menerima kehadiran pelancong di cawangan mereka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN