KULAI – Seorang pengurus sebuah syarikat berputih mata selepas ditipu sebanyak RM399,600 berkaitan urusan pembekalan katil secara atas talian melalui tender tidak wujud awal bulan ini.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 47 tahun mendakwa dirinya ditipu oleh satu sindiket yang menawarkan tender perbekalan katil, kelmarin.
Jelasnya, sebelum itu, lelaki tersebut telah dijanjikan akan menerima pulangan lumayan menerusi pembayaran 270 buah katil terlebih dahulu sebelum menebusnya keuntungannya apabila katil sudah diterima sindiket berkenaan.
Katanya, selepas berminat dengan tawaran dijanjikan, lelaki itu kemudiannya membuat empat transaksi dalam dua akaun bank tempatan secara berperingkat berjumlah RM399,600 pada 9 Februari (kelmarin).
“Sejurus selepas membuat pembayaran, lelaki berkenaan telah membuat semakan dengan pihak yang dinyatakan oleh sindiket namun mendapati tawaran itu tidak wujud.
“Setelah merasakan dirinya tertipu, lelaki itu kemudiannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai,” katanya dengan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE














