KUALA NERUS – Kerajaan akan melakukan inisiatif pembenihan awan di Johor, Kedah dan utara Perak bermula esok bagi meningkatkan semula paras air empangan utama di negeri-negeri tersebut yang kini menyusut ekoran cuaca panas.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerja-kerja pembenihan awan akan dilakukan secara berperingkat selama lima hari sehingga Ahad ini.
“Saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara telah menetapkan 11 dan 12 Februari (esok dan lusa) untuk melakukan pembenihan hujan di Johor.
“Ia melibatkan Empangan Layang, Pulai 1 dan Machap,” katanya ketika ditemui pada majlis penutup Permukiman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, inisiatif pembenihan awam seterusnya akan dilakukan di Kedah dan utara Perak pada Jumaat dan Sabtu ini.
Beliau berkata, ia melibatkan Empangan Pedu, Muda dan Ahning, Kedah serta Bukit Merah, Perak yang juga menunjukkan penurunan paras air semasa.
“Pada 15 Februari (Ahad), kita akan kembali ke Johor untuk melakukan pembenihan hujan melibatkan empangan-empangan berkaitan (Empangan Layang, Pulai 1 dan Machap).
“Kesemua empangan-empangan yang terletak di Johor, Kedah dan utara Perak kini sudah berada pada paras amaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE














