fbpx
Ustaz Kazim Elias terbuka bekerja di bawah mana-mana syarikat produksi andai kena dengan jalan cerita sesebuah filem.

Ikut pengalaman, saya bukan anak emas Mawi – Ustaz Kazim Elias

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Bukan eksklusif sebagai anak emas Mawi World Entertainment, pendakwah bebas, Datuk Ustaz Kazim Elias terbuka bekerja di bawah mana-mana syarikat produksi andai kena dengan jalan cerita sesebuah filem.

Katanya, lakonan tetap menjadi minatnya malah ada menerima beberapa tawaran namun disebabkan penyanyi dan penerbit, Mawi lebih dulu menawarkannya membintangi sebuah filem baru membuatkan pihak lain menyangkanya diikat syarikat terbabit.

“Sebenarnya saya masih mahu berlakon selepas tampil dalam filem Zim Zim Ala Kazim dua tahun lalu. Kemudian, Mawi tawarkan pula satu projek baharu dengan kisah aksi bersandarkan pengalaman saya.

“Mungkin dari situ orang menyangka saya cuma nak berlakon dengan produksi terbitan Mawi walhal saya terbuka saja untuk bekerjasama dengan syarikat lain.

“Jika diberikan watak berat kenapa tidak. Bukan memilih, saya memang sedia berlakon terutama kalau ceritanya kuat dan karakter diberi lebih serius,” katanya pada majlis tazkirah sempena pra-Ramadan Nieza Salon Muslimah, baru-baru ini.

Mengenai filem baru terbitan Mawi World Entertainment, katanya penerbitan terbabit banyak membabitkan babak aksi serta sarat drama.

Begitupun, disebabkan kekangan masanya yang perlu menyempurnakan tugasan lain yang sudah dipersetujui lebih awal, penggambaran hanya dimulakan selepas sambutan hari raya.

“Perkara tersebut sudah dibincangkan dan dipersetujui kedua-dua pihak. Berikutan jadual saya yang padat terutama menjelang Ramadan, kerja penggambaran insya-Allah dapat dimulakan selepas Syawal.

“Ceritanya masih berkisar pengalaman lalu saya tapi bukan diselitkan genre lawak, kali ini banyak momen tegang termasuk tiga kali saya diserang ketika berceramah,” ujarnya.

Terdahulu, menerusi filem Zim Zim Ala Kazim yang diterbitkan pada 2024, Ustaz Kazim pertama kali menggalas watak utama bagi kisah berkisar sekumpulan pencari hantu yang mendapatinya dalam keadaan bahaya akibat penyakit misteri.

Difahamkan, pendakwah popular itu meletakkan syarat untuk melakonkan sendiri sebelum bersetuju untuk tampil dalam filem berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN