KUALA LUMPUR – Seramai 10 lelaki yang ditahan berhubung pergaduhan antara dua kumpulan di Kafe Beringin, Taman Beringin di sini, didapati mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kesemua suspek berusia antara 28 hingga 41 tahun itu ditahan susulan insiden rusuhan berkenaan.
Menurut beliau, semakan mendapati semua individu terbabit memiliki rekod lampau sama ada berkaitan jenayah, dadah atau kedua-duanya sekali.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
“Perintah reman terhadap kesemua suspek diperoleh antara satu hingga tiga hari bermula kelmarin hingga esok dan siasatan masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan polis menahan 10 lelaki bagi membantu siasatan kes merusuh menggunakan senjata berbahaya di sebuah kafe di Taman Beringin di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.10 malam itu, seorang lelaki berusia 33 tahun dipukul menggunakan objek dipercayai ‘forklock’ sebelum dibaling topi keledar di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari dilapor berkata, pergaduhan dipercayai berpunca daripada salah faham selepas anak saudara salah seorang suspek mendakwa ditampar oleh individu tidak dikenali di kafe berkenaan. – KOSMO! ONLINE














