fbpx
Johari menyantuni perwakilan pada Simposium Parlimen Mengenai Akses Pendidikan dan Pekerjaan Sah untuk Pelarian di Dewan Banquet, Bangunan Parlimen, hari ini. Foto oleh SYAKIR RADIN/KOSMO!

Akses pendidikan, kerja sah pelarian jadi fokus Simposium Parlimen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Simposium Parlimen Mengenai Akses Pendidikan dan Pekerjaan Sah untuk Pelarian menjadi platform bagi meningkatkan kesedaran serta membina simpati dan empati masyarakat terhadap nasib golongan pelarian, khususnya dalam aspek pendidikan dan peluang pekerjaan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, peluang pekerjaan bukan sahaja penting untuk membolehkan pelarian menyara keluarga, malah secara tidak langsung dapat mengurangkan tekanan terhadap Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Pelarian (UNHCR).

Katanya, selain itu, ia turut membantu dalam mengurangkan beban kewangan negara bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan dan bantuan berkaitan.

“Objektif simposium ini adalah untuk membuka mata khususnya kepada ahli-ahli Parlimen agar membincangkan isu serius ini dan seterusnya mendesak kementerian berkaitan.

“(Antaranya) seperti Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pendidikan supaya membuka ruang perbincangan tentang kaedah penyelesaian isu pelarian di negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas perasmian Simposium Parlimen Mengenai Akses Pendidikan dan Pekerjaan Sah untuk Pelarian, di sini, hari ini.

Jelas beliau, berdasarkan rekod, terdapat kira-kira lebih 200,000 pelarian berada di Malaysia, namun angka sebenar dipercayai lebih tinggi kerana masih ramai yang belum didaftarkan.

“Kebarangkalian untuk mereka pulang ke negara asal juga rendah kerana konflik masih berterusan, khususnya melibatkan pelarian Rohingya dari Myanmar,” ujarnya.

Beliau menegaskan, persoalan utama ketika ini ialah sama ada negara mahu membiarkan golongan tersebut terus berada di Malaysia tanpa pendidikan dan tanpa pekerjaan, sedangkan mereka juga manusia yang memerlukan makanan, kesihatan serta kehidupan yang bermaruah.

Sehubungan itu, Johari berkata, perlu ada desakan berterusan daripada Jawatankuasa Pilihan Khas, terutama dalam isu melibatkan kanak-kanak kerana ketiadaan pendidikan hanya akan mewujudkan masalah yang lebih besar pada masa hadapan.

“Tanpa pendidikan, mereka tidak mempunyai hala tuju dan kemahiran, sama ada mereka terus berada di negara kita atau pulang ke negara asal,” jelasnya.

Tambah beliau, simposium seperti ini amat penting supaya segala pandangan dan cadangan yang dikemukakan dapat dibawa ke dalam bidang kuasa Jawatankuasa Pilihan Khas dan seterusnya dibentangkan di Parlimen.

Dalam masa sama, beliau menggalakkan jawatankuasa berkenaan membentangkan dapatan mereka serta mendesak kerajaan mengambil tindakan terhadap isu yang semakin mendesak itu.

Johari turut berkata, keperluan tenaga kerja dalam sektor ekonomi ketika ini menuntut satu mekanisme difikirkan bagi mendokumenkan pelarian serta menyediakan latihan supaya mereka boleh bekerja dalam sektor yang memerlukan tenaga buruh.

“Ini boleh mewujudkan situasi menang-menang, di mana pelarian tidak terbiar tanpa hala tuju dan negara pula dapat mengisi keperluan tenaga kerja,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI