IPOH – Sebanyak 60 panggilan kes kebakaran diterima pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak secara purata setiap hari sejak seminggu lalu berikutan cuaca panas dan kering yang melanda negara ketika ini.
Pengarah JBPM Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, daripada jumlah itu, kira-kira 40 peratus atau 24 kes melibatkan kebakaran terbuka terutama lalang yang berkeluasan 0.4 hingga 0.8 hektar.
“Namun sejak kebelakangan ini, terdapat kes melibatkan kawasan hingga dua hektar. Keadaan ini amat membimbangkan sekiranya tidak dapat dikawal.
“Justeru, orang awam dinasihatkan supaya mengelakkan pembakaran terbuka ketika ini, khususnya di kebun dan ladang kerana cuaca panas dan kering boleh menyebabkan api merebak dengan cepat,” katanya pada sidang akhbar sempena Majlis Perbarisan Tahunan Tahun 2026 di Ibu Pejabat JBPM Perak di sini hari ini.
Menurut beliau, kawasan kebakaran biasanya tertumpu di tempat terbuka dan ladang, terutama apabila ada pihak yang membersihkan kebun.
Malah katanya, tapak pelupusan sampah merupakan antara lokasi berisiko terbakar berikutan kawasan yang luas dan tahap pemantauan terhad selain aktiviti individu yang mencetuskan kebakaran bagi mencari barangan kitar semula untuk dijual.
“Kita perlu ingat apabila berlaku kebakaran di tapak pelupusan sampah, proses pemadaman mengambil masa yang panjang kerana keluasan kawasan, lokasi yang jauh dan ketiadaan sumber air terbuka, sekali gus meningkatkan risiko dan pencemaran,” katanya.
Sayani menasihati orang ramai agar lebih peka dan tidak melakukan pembakaran terbuka, bagi mengelakkan risiko kebakaran merebak dan membahayakan keselamatan awam.
Katanya, ibu bapa juga diingatkan agar memantau anak-anak daripada bermain dengan punca api yang boleh menyebabkan kebakaran.
“Kita minta supaya masyarakat agar sama-sama cakna dan janganlah buat pembakaran terbuka. Kalau perlu sangat pun jaga dan tunggu bukannya bakar dan tinggal,” katanya. – KOSMO! ONLINE






