LONDON – Lima individu ditahan selepas cuba menyeludup 23 lelaki warga Bangladesh yang disembunyikan di dalam sebuah lori untuk keluar dari Britain, lapor akhbar The Independent.
Pegawai dari Agensi Jenayah Kebangsaan (NCA) menahan lori itu semasa menghampiri Pelabuhan Feri Dover dan menemukan lelaki-lelaki tersebut bersembunyi di dalamnya.
“Seramai 22 daripada 23 warga asing itu berada di Britain secara sah dan dibebaskan serta-merta, manakala seorang lagi ditahan oleh penguatkuasaan imigresen,” kata NCA.
Seorang suspek berusia 43 tahun yang disyaki ketua rangkaian jenayah itu, diberkas di New Cross, London. Polis turut merampas wang tunai sebanyak £30,000 (RM162,000) sebagai sebahagian daripada siasatan.
Suspek-suspek lain termasuk tiga lelaki berumur antara 43 hingga 55 tahun dan pemandu lori yang merupakan warga Romania.
“Kumpulan jenayah terancang yang terlibat dalam penyeludupan manusia berisiko membahayakan keselamatan individu yang diseludup dan mengancam keselamatan sempadan Britain serta Perancis.
“Menangani jenayah imigresen terancang kekal menjadi keutamaan utama bagi NCA. Siasatan ini adalah salah satu daripada 100 siasatan yang sedang dijalankan ke atas rangkaian atau individu dalam jenayah ini,” kata komander cawangan NCA, Saju Sasikumar. – AGENSI














