fbpx
SEBAHAGIAN pelajar USM yang terlibat dalam Program AI Know di Kampung Sungai Tengas, Kulim, Kedah baru-baru ini bertujuan memperkukuh hubungan universiti dan komuniti selain meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap teknologi digital.

Orang kampung perlu belajar AI, elak ketinggalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Nur Hafeeza Ahmad Pazil

Kecerdasan buatan (AI) bukan lagi sekadar teknologi masa hadapan yang hanya boleh dilihat dalam filem sains fiksyen. Hari ini, AI adalah realiti yang sudah meresap masuk dalam kehidupan seharian setiap lapisan masyarakat Malaysia.

Daripada algoritma yang menyusun garis masa di media sosial TikTok, hinggalah kepada fungsi dalam aplikasi WhatsApp, AI sedang membentuk cara kita berfikir, berkomunikasi, dan ber­tindak.

Namun, di sebalik kepanta­s­an teknologi ini, timbul satu persoalan penting: adakah kita sedang membina masyarakat yang benar-benar ‘celik AI’ atau sekadar menjadi pengguna pasif? Tanpa pemahaman yang betul, masyarakat lebih mudah terdedah kepada risiko manipulasi digital dan algoritma tanpa kita sedari.

Peralihan daripada literasi digital asas kepada literasi AI kini menjadi keperluan mendesak bagi negara. Kesedaran ini selari dengan hala tuju Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) yang menekankan transformasi digital dan pembudayaan pem­belajaran sepanjang hayat.

RPTM meletakkan institusi pengajian tinggi (IPT) bukan hanya sebagai tempat melahirkan graduan untuk bekerja, tetapi sebagai rakan strategik yang memacu perubahan sosial.
Universiti perlu menjadi penggerak utama dalam pemindahan ilmu, sekali gus memastikan hasil penyelidikan dan inovasi benar-benar memberi kesan positif kepada kehidupan komuniti.

Dalam konteks ini, usaha kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, wajar diberi pujian. Visi beliau yang menekankan inovasi berteraskan nilai kemanusiaan telah diterjemahkan dengan ber­kesan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Melalui pelbagai dasar, KPT berjaya mewujudkan ekosistem yang menggalakkan universiti meneroka potensi AI bukan sekadar sebagai alat teknikal, tetapi sebagai medium untuk memperkasakan rakyat secara beretika dan inklusif.

Melangkaui tembok universiti

Persoalan besar yang perlu kita fikirkan bersama adalah sejauh manakah literasi AI ini sampai kepada komuniti di peringkat akar umbi? Kita tidak boleh membiarkan ilmu AI ini hanya dinikmati oleh pelajar universiti atau golongan profesional di bandar sahaja.

Jika kita tidak mengambil langkah segera, jurang digital sedia ada akan meluas menjadi ‘jurang AI’ yang lebih dalam, menyebabkan golongan rentan dan warga emas terus terpinggir daripada arus kemajuan negara.

Di sinilah universiti perlu tam­pil sebagai jambatan ilmu. Universiti Sains Malaysia (USM), selari dengan motto ‘Kami Me­mimpin’ dan misi memperkasakan kesejahteraan masyarakat, telah mengambil langkah proaktif dalam literasi AI komuniti.

Program AI-Know menzahirkan pendekatan pendidikan berasaskan komuniti dan pemindahan ilmu oleh USM. Melalui inisiatif ini, pelajar Antropologi dan Sosiologi dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan turun padang ke Kampung Sungai Tengas, Kulim, Kedah untuk menjalankan projek komuniti serta bengkel pendedahan AI kepada penduduk setempat.

Melalui sesi praktikal dan perbincangan santai, komuniti mula didedahkan kepada realiti teknologi semasa. Mereka mula menyedari bahawa video atau imej yang mereka temui di grup WhatsApp mungkin hasil sunti­ngan AI.

Kesedaran ini amat kritikal, terutama bagi warga emas yang sering menjadi sasaran kandu­ngan palsu atau maklumat mengelirukan yang bertujuan untuk penipuan.

Apabila mahasiswa turun ke lapangan, AI tidak lagi nampak menakutkan atau terlalu teknikal. Sebaliknya, AI diperkenalkan sebagai alat bantuan yang praktikal, seperti membantu usahawan kecil di kampung menjana idea pemasaran, memudahkan pembelajaran anak-anak, dan membantu masyarakat menapis maklumat yang sahih.

Pendekatan ini membuktikan aspirasi RPTM bahawa universiti adalah rakan pembangunan masyarakat yang dinamik, di mana ilmu dimanfaatkan secara langsung bagi menyelesaikan ma­salah komuniti.

Selain aspek teknikal, li­terasi AI yang dibawa ke komuniti turut menekankan soal etika. Masyarakat perlu faham bahawa walaupun AI mempunyai keupayaan luar biasa, ia tetap mempunyai batasannya. Isu privasi data dan kesan sosial perlu di­bincangkan secara terbuka.

Tanggungjawab sosial

Universiti berperanan memastikan masyarakat bukan hanya tahu ‘cara menggunakan’ AI, tetapi juga tahu ‘bila dan mengapa’ mereka harus berwaspada. Perkara ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial universiti dalam melahirkan masyarakat yang berdaya tahan.

Mahasiswa pula, dengan kemahiran teknologi dan kepekaan sosial mereka, adalah aset pen­ting dalam usaha ini. Penglibatan mereka dalam program libatsama universiti-komuniti bukan sahaja dapat memindahkan ilmu, malah membina sifat empati dan kemahiran komunikasi.

Pendedahan seperti ini merupakan proses pembelajaran dua hala yang membentuk sahsiah mahasiswa yang lebih seimbang dan holistik.

Sebagai pelan jangka panjang, RPTM menuntut usaha yang konsisten untuk memperkukuh literasi AI di semua peringkat masyarakat. Langkah ini merangkumi usaha memperbanyak program berasaskan komuniti dan sokongan dana untuk inovasi sosial.

Kejayaan transformasi digital negara tidak seharusnya diukur pada kecanggihan infrastruktur semata-mata, tetapi pada tahap ‘kematangan digital’ masyarakatnya.

Sekalung penghargaan wajar diberikan kepada kepimpinan negara dan KPT yang menyediakan landasan dasar yang kukuh. Visi strategik dan sokongan kementerian merupakan pemang­kin utama yang membolehkan teknologi AI diterjemahkan kepada inisiatif yang memberi impak nyata kepada rakyat.

Usaha memastikan tiada sesiapa yang tertinggal dalam arus teknologi ini bukan sekadar tugas warga akademik, malah me­rupakan komitmen nasional yang perlu dijayakan bersama.

Pada akhirnya, membudayakan literasi AI adalah perjalanan kolektif yang memerlukan kerjasama antara universiti dan masyarakat.

Program seperti AI-Know membuktikan bahawa universiti berfungsi sebagai nadi yang menghidupkan aspirasi negara di peringkat akar umbi.

Syabas kepada kepimpinan universiti dan KPT yang sentiasa menyokong ruang inovasi sosial ini.

Melalui literasi AI yang inklu­sif, kita bukan sahaja menyediakan tenaga kerja masa hadapan, tetapi sedang membina masyarakat Malaysia MADANI yang pintar digital, beretika, dan berdaya tahan.

Dr. Nur Hafeeza Ahmad Pazil ialah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN