fbpx
Mahkamah Syariah Negeri Kelantan di Tunjong, Kota Bharu. - GAMBAR HIASAN

Lelaki tukar jantina didakwa di mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Seorang lelaki berdepan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun selepas didakwa atas pertuduhan menukar jantinanya kepada transgender yang merupakan satu kesalahan mengikut Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 di Mahkamah Syariah Kelantan di sini pada pertengahan bulan lalu.

Sumber Jabatan Agama Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) berkata, pendakwaan itu dibuat selepas undang-undang tersebut dikuatkuasakan pada tahun 2020 lalu.

Katanya, individu itu dicekup dalam satu operasi yang dijalankan Jaheaik terhadap sebuah acara melibatkan sekumpulan transgender pada awal bulan lalu.

“Kes tersebut masih peringkat pengurusan selepas tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu. Ia merupakan kes pertama melibatkan pertuduhan menukar jantina yang didakwa di Mahkamah Syariah di negeri ini.

“Pendakwaan bagi kes itu dijalankan mengikut Seksyen 18 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 iaitu kesalahan mengubah jantina sendiri atau orang lain,” katanya.

Mengulas lanjut, sumber itu memberitahu, lelaki itu boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Mohd. Asri Mat Daud berkata, pihaknya tidak boleh mendedahkan kes berkenaan secara terbuka.

Katanya, beliau tidak mempunyai maklumat kerana kes tersebut masih dalam perbicaraan.

“Dalam hal ini, saya kena jaga semua pihak yang sedang diambil tindakan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN