fbpx
Azman (kiri) memeriksa tong jerikin berisi petrol RON97 yang dirampas di dalam sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback di sebuah stesen minyak di Jalan Pengkalan Chepa dekat Kota Bharu hari ini. FOTO IHSAN KPDN

Penyeludup dicekup, sejam isi RON97 dalam 40 tong jerikin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RANTAU PANJANG – Seorang penyeludup tidak sempat meraih keuntungan hasil jualan sebanyak 40 tong jerikin berisi 1,100 liter petrol RON97 selepas dicekup semasa sedang mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Jalan Pengkalan Chepa dekat Kota Bharu hari ini.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, suspek berusia dalam lingkungan 30-an memandu dan memandu sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback ditahan kira-kira pukul 5.45 pagi tadi.

Menurutnya, lelaki itu dipercayai sudah sejam mengisi minyak ke dalam 40 buah tong jerikin di stesen minyak tersebut sebelum diberkas anggota penguat kuasa KPDN.

“Siasatan lanjut mendapati, suspek dipercayai bersekongkol dengan pemilik stesen minyak itu untuk mengisi minyak RON97 untuk diseludup ke negara jiran.

“Modus operandi yang digunakan suspek adalah menjalankan pengisian minyak pada awal pagi lebih-lebih lagi pada waktu subuh bagi mengelakkan kegiatan tersebut dikesan pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat operasi sebuah stesen minyak di sini hari ini.

Azman memberitahu, siasatan lanjut mendapati, kesemua petrol RON97 yang diisi ke dalam tong jerikin itu dianggarkan bernilai RM2,540.

Menurutnya, meskipun petrol RON97 bukan merupakan komoditi bersubsidi, bahan tersebut tetap tidak boleh sewenang-wenangnya diseludup ke negara jiran.

Tambahnya, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI