Gadis pilihan Pesona Ahad minggu ini, Alice Ong Hui Ling, 22, pernah berentap di dua pertandingan ratu cantik peringkat antarabangsa.
Penuntut bidang perundangan di Universiti Malaya ini yang sangat gemar aktiviti sosial berkongsi kepada Kosmo! Ahad tentang hasrat untuk membuka firma guaman sendiri.
KOSMO! AHAD: Kongsikan tentang diri anda?
Alice: Saya seorang yang berprinsip dan berdisiplin walaupun seronok mengikuti pelbagai aktiviti sosial. Orang sekeliling melihat saya peramah dan mampu tenang ketika berada di bawah tekanan.
Perjalanan diiktiraf sebagai ratu cantik?
Saya menyertai Miss Teen International 2023 dan berada dalam kelompok 10 terbaik.
Pada 2025, saya menyertai Miss Borneo International 2025 dan memenangi pertandingan itu dan meraih dua lagi anugerah iaitu Best National Costume dan Best Evening Gown.
Bagaimana pentas ratu cantik mengajar anda?
Dunia ratu cantik adalah pentas untuk saya bersuara sekali gus peluang berkongsi pandangan. Keyakinan diri dan kemahiran bercakap di hadapan khalayak secara tidak langsung membantu saya untuk menyampaikan idea dengan lebih jelas.
Selain itu, peluang mewakili Sarawak bukan sekadar sebuah perjalanan, malah membawa tanggungjawab berat, terutama apabila saya menjadi wakil pertama di Miss Teen International.
Kenangan dalam Miss Borneo International 2025?
Walaupun setiap anugerah diterima merupakan satu penghormatan, kenangan paling bermakna apabila berpeluang mengenakan busana kebangsaan Sarawak di pentas antarabangsa. Bukan sahaja diinspirasikan oleh burung kenyalang serta warisan budaya masyarakat Dayak, malah mempunyai sebuah cerita yang bermakna.
Bagaimana Alice kekalkan motivasi diri?
Motivasi saya lahir daripada rasa syukur dengan perjalanan yang saya lalui. Belajar dalam bidang undang-undang di Universiti Malaya adalah impian terbesar saya. Kata-kata daripada keluarga seperti ‘kami bangga dengan kamu walau apa pun hasilnya, asalkan kamu sudah buat yang terbaik,’ menjadi pegangan saya. Sokongan berterusan daripada mereka membuatkan saya tidak gentar untuk gagal, malah lebih berani memasang impian yang besar.
Alice lima tahun lagi?
Dapat buka firma guaman sendiri. Selain itu, libatkan diri dalam pertubuhan bukan kerajaan selain fokus akses pendidikan kanak-kanak.
Jika bukan peguam, kerjaya pilihan Alice?
Tanpa ragu, saya pasti akan mengejar kerjaya dalam bidang perubatan, khususnya pakar pediatrik. Kasih sayang mendalam terhadap kanak-kanak disertai dengan rasa tanggungjawab. Jadi, sama ada di kamar mahkamah atau klinik, motivasi utama saya tetap sama, iaitu menggunakan kemahiran saya untuk berkhidmat, melindungi, dan memperkasakan golongan rentan dalam masyarakat.
Definisi beauty with brains pada Alice?
Bagi saya, Beauty with brains bukan sekadar label, ia ibarat satu cerminan kepada wanita dalam penampilan dan pemikiran.
Pasangan sesuai buat Alice?
Individu yang komited untuk membina masa depan. Paling penting, saya mencari sokongan dua hala, di mana kami saling meraikan cita-cita dengan sepenuh hati dan dedikasi.














