fbpx
Antara kuda yang dibawa menaiki kapal terbang ke luar negara untuk pelbagai tujuan.

Kehebatan kuda terbang keliling dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Mengiringi kuda di dalam kapal terbang bukanlah satu kerjaya yang mudah kerana berdepan risiko tinggi terutama apabila haiwan itu mengamuk ketika berada pada altitud tinggi, apatah lagi dalam penerbangan jarak jauh.

Namun, bagi Muhammad Danial Abdul Razak, 33, cabaran itu sudah menjadi rutin hariannya sebagai penjaga kuda profesional yang bertanggungjawab mengurus dan memastikan kebajikan kuda sepanjang penerbangan domestik serta antarabangsa.

Danial berkata, penglibatannya dalam dunia kuda bermula selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila bekerja secara separuh masa di syarikat milik arwah bapanya sebelum menyertai syarikat Equestrian Support Services pada 2015 sebagai penjaga kuda profesional sepenuh masa.

“Latar belakang keluarga banyak mempengaruhi saya apabila ibu pernah bekerja di Kelab Lumba Kuda Singapura, manakala datuk, bapa saudara dan arwah bapanya yang turut terlibat dalam dunia kuda.

“Cita-cita saya sebenarnya mahu menjadi juruterbang, tetapi kosnya terlalu tinggi. Selepas diploma, saya sempat bekerja di pejabat selama tiga bulan sebelum kembali mengurus kuda. Tidak sangka, akhirnya saya tetap dapat terbang, cuma dengan kuda,” katanya kepada Kos­mo! Ahad.

Menurutnya, dia pernah terlibat dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Amsterdam yang mengambil masa sehingga 30 jam menyebabkan kuda be­risiko keletihan dan mabuk perjalanan.

“Pernah jadi kuda mengamuk dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu. Kena tenangkan kuda dengan pes penenang. Kalau kuda agresif atau cedera, kuda sebelah pun boleh panik,” katanya.

Muhammad Danial bersama seekor kuda yang diiringinya menaiki kapal terbang.

Danial telah mengiringi penghantaran kuda ke lebih 13 negara, kebanyakannya melibatkan destinasi Eropah dengan Amsterdam sebagai laluan paling kerap, selain penerbangan domestik ke Sabah dan Sarawak.

Bagi kos penghantaran kuda ke Eropah boleh cecah antara RM60,000 hingga RM70,000 se­ekor.

“Untuk penerbangan ke Sabah dan Sarawak pula sekitar RM18,000 hingga RM20,000 seekor, bergantung kepada keperluan dan jarak perjalanan,” katanya.

Katanya, kuda yang diterbangkan kebanyakannya untuk tujuan pertandingan selain kuda baharu yang dibeli dari luar negara untuk dibawa masuk ke Malaysia.

“Kalau kuda dari Malaysia ke luar negara pula, selalunya untuk pembiakan dan persaraan. Kebanyakan kuda merupakan milik persendirian untuk tujuan sukan, pembiakan ataupun persaraan,” katanya.

Menurutnya, risiko pekerjaannya sentiasa ada apabila pernah beberapa kali kuda yang bersifat agresif mengalami kecederaan ketika berada di dalam kandang khas (open horse stall) semasa penerbangan. 

“Keadaan itu menyebabkan kami berasa tidak selamat lalu mengambil keputusan untuk mengeluarkan kuda yang cedera daripada horse stall. 

“Malah, pernah berlaku insiden penerbangan terpaksa berpatah balik atas isu keselamatan. Walaupun sudah satu jam perjalanan di udara, tetapi kuda mengamuk dan tidak dapat dikawal sehingga mengakibatkan horse stall pecah dan kuda pun cedera,” ujarnya. 

Bagi menenangkan kuda, Danial akan berinteraksi lebih awal dengan haiwan tersebut termasuk mengusap, membiarkan kuda menghidu serta membina kepercayaan sebelum penerbangan bermula. 

“Kalau kuda tenang masa nak berlepas, biasanya perjalanan akan jadi lebih mudah,” katanya. 

Selain cabaran fizikal, Danial turut berdepan pengalaman beremosi apabila pernah mengiringi seekor kuda ke Switzerland untuk tujuan persaraan sebelum haiwan itu mati sebulan kemudian.

“Paling tersentuh bila pemilik buat keputusan untuk hantar kuda balik ke Switzerland untuk bersara dan mati di sana. Tepat sebulan kuda tu mati dan pemilik rasa beruntung sempat hantar kuda ke sana,” katanya. 

Dengan 15 tahun pengalaman, Danial kini menjadi antara penjaga kuda yang paling dipercayai untuk penerbangan jarak jauh.

“Horse groom sebenarnya biasa di Malaysia sebab setiap ‘stable’ kuda memang ada penjaga kuda. Tapi yang terbang ni boleh dikatakan jarang. Setakat ini, yang aktif memang saya seorang,” katanya.

Selain mengiringi kuda dalam penerbangan, Danial turut menyediakan perkhidmatan pengangkutan kuda menggunakan lori khas ke pertandingan serta memantau haiwan lain, termasuk kucing dan anjing, untuk tujuan import dan eksport.

“Kadangkala cabarannya datang apabila kuda perlu dibawa pulang dari luar negara. Seperti sewaktu Sukan SEA di Thailand baru-baru ni, kuda kita terbangkan ke Bangkok, tetapi balik kuda-kuda semua di atas jalan. Saya ambil guna lori kuda dari Thailand ke Malaysia semula,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN