fbpx
Ahmad Mohsin (kiri) menunjukkan barang kes pecah rumah dilakukan Geng Rahim Burma di sekitar negeri Perlis di IPD Arau, hari ini.

Geng Rahim Burma aktif pecah rumah di Perlis tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ARAU – Polis menumpaskan sekumpulan penjenayah dikenali Geng Rahim Burma selepas menahan 11 individu yang disyaki aktif melakukan pecah rumah di sekitar negeri ini sejak setahun lalu.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, tangkapan hasil Op Pintu itu membabitkan tujuh lelaki dan dua wanita warga Myanmar, seorang wanita Indonesia serta seorang lelaki tempatan.

“Kumpulan ini disyaki terbabit sekurang-kurangnya 15 kes pecah rumah di Arau dan Padang Besar. Suspek utama dikenali sebagai Rahim bekerja sebagai tukang rumah dipercayai memainkan peranan penting dalam mengenal pasti sasaran,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau, di sini hari ini.

Katanya, kumpulan itu sering menyasarkan rumah atas tanah lot sebelum melarikan barang berharga dan wang tunai, malah sebuah kediaman milik individu bergelar Datuk turut menjadi sasaran Geng Rahim Burma.

“Tangkapan pertama pada 16 Januari lalu di sekitar Perlis yang membawa kepada tangkapan susulan pada 23 dan 24 Januari ke atas beberapa suspek di Kuala Lumpur yang mempunyai kaitan dengan kenderaan digunakan dalam jenayah tersebut.

“Pelbagai barangan dirampas termasuk sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Perodua Alza, telefon bimbit, barang kemas, jam tangan, wang tunai termasuk mata wang asing dengan jumlah keseluruhan hampir RM100,000,” ujarnya.

Turut dirampas peralatan pecah rumah seperti pemotong besi, penukul, pemutar skru dan besi kuku kambing. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN